Saturday, October 24, 2009

Selamat Menghadapi Final Exam

Mahasiswa dan Masyarakat

Semakin menghampiri pengakhiran di UPSI, semakin terasa ingin bergaul rapat dengan masyarakat. Saya kira pilihan untuk menetap di UKLK pada semester 5 merupakan keputusan yang agak tepat walaupun mempunyai pilihan duduk di kolej. Mungkin pandangan yang tinggal di kolej sedikit berbeza namun apa yang pasti duduk bergaul dengan masyarakat luar adalah lebih enak dan matang.

Komuniti Masyarakat merupakan satu nadi penting dalam sesuatu tempat. Masyarakat merupakan satu tempat pentarbiyahan ‘live’ yang boleh membentuk satu komuniti bangsawan, negarawan, ahli politik dan apa sahaja yang boleh membentuk manusia itu sendiri. Nah, namun begitu masyarakat memerlukan satu komuniti lain yang boleh menjadi nadi kepada mereka dan saya kira komuniti tersebut adalah mahasiswa. Apatah lagi mahasiswa itu adalah mahasiswa pendidikan yang bakal bergelar guru yang sudah semestinya menjadi nadi penting masyarakat kelak. saya mengira juga bahwa slogan kebangkitan mahasiswa, kebangkitan rakyat masih laku dan menjadi iltizam bagi mahasiswa-mahasiswa yang mempunyai pemikiran dan falsafah.

Begitu tinggi pandangan masyarakat kepada mahasiswa dan kajian kes yang dibuat ini adalah khususnya mahasiswa UPSI. Sepanjang tinggal di UKLK selama 3 semester, saya kira lebih kurang 10 majlis tahlil yang saya dijemput bukan sahaja untuk menjadi tetamu makan tetapi untuk memimpin majlis tahlil tersebut. Selama 2 kali menjalani ibadah puasa di UKLK, selama 2 kali itu lah juga saya dipilih untuk menjadi Imam di surau berhampiran rumah.

Saya kira masyarakat begitu memandang tinggi kepada mahasiswa terutama dalam aspek keagamaan dan aktiviti-aktiviti masyarakat. Namun sejauh mana kita memanfaati peluang yang ada ini. Persoalannya, masyarakat amat berharap kepada kita kerana mereka tahu dan faham bahawa kita adalah aset masa depan, namun sejauh mana kita bersedia ke arah itu?