Sunday, July 19, 2009
Tuesday, July 7, 2009
Friday, June 19, 2009
Kerajaan benarkan 338 bekas komunis pulang: Apa pendirian kerajaan sebenarnya?
Saya tidak pasti apakah pendirian kerajaan sebenarnya dalam hal ini. Jika sebelum ini, kecoh dikhabarkan bahawa Chin Peng tidak dibenarkan pulang ke Malaysia kerana beliau adalah ahli Parti Komunis Malaya (PKM). Kemudian, kecoh pula Anwar Ibrahim mengatakan bahawa Chin Peng boleh dibawa pulang kerana kerajaan dan PKM telah pun membuat perjanjian damai serta ramai juga tokoh PKM yang dibawa pulang ke Malaysia seperti Samsiah Fakeh. Dalam hal ini juga, ramai bekas tentera yang menyatakan bantahan tentang kepulangan Chin Peng kerana beliau merupakan musuh Negara (termasuk pemimpin-pemimpin korup yang makan duit rakyat). Sewajarnya beliau menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahannya dan sekiranya sudah setimpal, wajarlah dibawa pulang ke Negara asal, tempat dimana bumi dipijak. Pendapat saya ini, saya perkuatkan dengan kewajaran banduan yang melakukan kesalahan, akan menerima hukuman dan setelah itu banduan akan menjadi bekas banduan dan kembali kepada masyarakat. Namun begitu, tiada penjelasan jelas dari pihak kerajaan berkenaan isu ini. Nah, takkan Chin Peng yang seorang beriya-iya tak dibenarkan pulang sehingga kenyataan media heboh sana sini, 338 bekas komunis ini pula yang dibawa pulang ke tanah air kita. Apa-apa pun, sayangi Negara kita kerana cintai Negara adalah sebahagian daripada Iman.
Kenyataan daripada Menteri Dalam Negeri:
Kerajaan benarkan 338 bekas komunis pulang
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, permohonan mereka diluluskan selepas menjalani proses yang dikehendaki serta mematuhi syarat-syarat ditetapkan dalam perjanjian.
“Sepanjang tempoh tawaran tersebut, seramai 431 bekas anggota komunis memohon untuk pulang. Daripada jumlah itu, 338 permohonan diluluskan dan 93 ditolak atas pelbagai sebab seperti gagal mematuhi syarat-syarat dalam perjanjian dan masalah daripada segi status kewarganegaraan.
“Daripada jumlah ini, terdapat juga permohonan yang ditarik balik atas kehendak pemohon sendiri,” katanya melalui jawapan bertulis terhadap soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Teresa meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan nama bekas anggota komunis yang dibenarkan balik ke Malaysia dan nama yang ditolak untuk pulang.
Beliau juga ingin tahu kriteria yang ditetapkan kementerian bagi membenarkan atau menolak bekas anggota komunis untuk pulang ke negara ini.
Hishammuddin berkata, menurut perjanjian antara kerajaan dan PKM, mana-mana bekas ahli PKM yang ingin kembali ke Malaysia perlu mematuhi beberapa syarat termasuk memaklumkan hasrat untuk pulang kepada pihak berkuasa dalam tempoh tidak lebih setahun dari tarikh perjanjian ditandatangani dan menjalani proses temuduga serta dokumentasi.
“Dengan pilihan tersebut, ternyata tidak semua bekas anggota komunis menerima tawaran untuk pulang ke Malaysia, malah ramai yang memilih untuk terus tinggal di Selatan Thailand,” katanya.
Hishammuddin berkata kekejaman yang dilakukan anggota komunis menyebabkan ramai rakyat dan anggota keselamatan yang terkorban dan ia memberikan kesan mendalam kepada rakyat.
“Demi mengelakkan kejadian yang mengancam keselamatan negara serta bekas anggota komunis, maka nama-nama mereka yang dibenarkan pulang tidak akan didedahkan.
“Di atas faktor yang sama proses kepulangan mereka juga tidak akan diberikan sebarang publisiti,” katanya.
Sinar Harian: http://www.sinarharian.com.my/com/content/story2875461.asp
Berita bahagian Akademik
Bismillahirrahmanirrahim
ALHAMDULLILAH
Saya baru sahaja menerima terus penerangan mengenai sistem baru pendaftaran semester yang bakal dijalankan pada semester depan. Mahasiswa/i perlu mengambil kira beberapa perkara dan perubahan yang dilakukan oleh bahagian akademik bagi memudahkan urusan pendaftaran semester dan mengelakkan daripada didenda. Berikut beberapa perkara yang perlu dicermati:
1) Pendaftaran semester
Permulaan semester 1 2009/2010, pendaftaran semester akan dibuat secara online bermula 1 Julai sehingga 6 Julai 2009. Mahasiswa/i diminta untuk membuka laman web myupsi portal untuk membuat pendaftaran semester dengan mengemaskini bahagian profile terutamanya pada bahagian no telefon dan alamat semasa. Proses mengemaskini profile yang lengkap akan membolehkan mahasiswa/i mencetak jadual waktu kuliah untuk semester hadapan. Perlu diingatkan, bahawasanya pendaftaran semester hanya selesai sepenuhnya sebaik sahaja mahasiswa/i mendapatkan jadual kuliah masing-masing menerusi myupsi portal.
Dengan sistem ini, pihak fakulti tidak akan memberi jadual kuliah yang biasanya diambil di pejabat fakulti masing-masing dan mahasiswa/i boleh membuat pendaftaran semester dalam tempoh 1-6 Julai 2009 biarpun tidak berada di UPSI. Sekiranya mahasiswa/i tidak melakukan online pendaftaran pada masa yang diberikan, anda perlu menjalani proses pendaftaran secara manual dengan merujuk ke bahagian fakulti masing-masing.
2) Kuliah
Kuliah akan bermula pada 6 Julai 2009. Mahasiswa/i dinasihatkan merujuk jadual kuliah masing-masing, disamping memastikan diri hadir kuliah seperti biasa. Proses pengambilan kedatangan oleh pensyarah-pensyarah mengajar dan bagi 3 kali ketidakhadiran ke kuliah akan dibar daripada memasuki peperiksaan.
3) Slip keputusan peperiksaan
Untuk pengambilan slip keputusan peperiksaan akan bermula pada satu tempoh yang ditetapkan oleh fakulti dan mahasiswa/i boleh mendapatkannya di pejabat fakulti masing-masing. Urusan pengambilan slip keputusan peperiksaan akan dibuat setelah bermulanya sesi kuliah.
4) Ulang peperiksaan
Bagi mahasiswa/i yang ingin mengulang semula peperiksaan bagi subjek yang gagal, anda boleh berbuat demikian dengan mendapatkan kebenaran pensyarah yang mengajar subjek berkenaan dan membuat pendaftaran online semasa minggu tambah gugur.
Sumber:
Bahagian Peperiksaan dan Pendaftaran Akademik Upsi
Saya menyarankan agar mahasiswa/i peka dengan perubahan dan tarikh-tarikh yang ditetapkan bagi mengelakkan diri daripada dikenakan denda dan memudahkan sesi pembelajaran pada semester baru. Pastikan juga mahasiswa/i mendapat berita daripada sumber yang sahih dari pihak yang berautoriti bagi mengelakkan kekeliruan yang berlaku. Sama-sama kita mulakan semester baru dengan satu langkah baru yang lebih cemerlang, insyaALLAH!
‘Transform with knowledge’
NUR AQILAH HANIS BT MOHD YUSOFF
Exco Akademik & Kerjaya
MPP UPSI 2008/2009
Sumber: http://guruohguru.wordpress.com/
Wednesday, June 17, 2009
Berita untuk Mahasiswa
Kami di peringkat mahasiswa menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkenaan pemotongan wang pendahuluan RM 1500 secara beransur-ansur mengikut semester. Dan ia merupakan manifesto saya untuk PRK 08/09. Alhamdulillah. walaupun begitu, kami di peringkat pimpinan mahasiswa masih mengharapkan supaya wang pendahuluan RM 1500 tersebut diberikan secara percuma seperti mana sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada setiap anak negeri yang menyambungkan pengajian ke peringkat IPT. hal ini kerana, sememangnya RM 1500 tersebut amat diperlukan oleh mahasiswa diperingkat awal pengajian. ianya dicadangkan untuk tidak dibayar semula dan dijadikan sebagai wang berbentuk bantuan daripada kerajaan dan bukannya wang berbentuk pinjaman.
keratan akhbar tentang kenyataan Menteri KPT:
Menjadi tetamu Allah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T, saya dan keluarga bersama rombongan dari Pahang telah dipilih untuk menjadi tetamu Allah di bumi barakah Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah. Berada di tanah haram selama lebih 10 hari amat mengembirakan apatah lagi dipilih oleh Allah dalam diri yang masih muda. Memang benar, bukan mudah untuk menjadi dan dipilih oleh Allah untuk menjadi tetamu Nya. Jika kita pergi kerana kita berduit, ramai yang berduit tetapi tidak dipilih. Jika kita pergi kerana sihat dan kuat, ramai lagi yang sihat dan kuat tidak dipilih, malah ramai yang sakit juga berada di sana. Dan jika kerana kita pergi kerana kita muda, ramai lagi pemuda yang tak dipilih oleh Allah dan ramai juga orang-orang tua yang ada di sana. Jelas jika kita renung dan ambil iktibar, tidak lain dan tidak bukan untuk ke sana adalah benar-benar yang dipilih oleh Allah. Dialah yang beri kita kewangan, kekuatan dan kemampuan.
Berada di madinah, bumi di mana tempat Rasulullah dan sahabat-sahabat bertungkus lumus mengembangkan Islam. Berkesempatan bersolat di Masjid Nabawi amat mengembirakan dan memilukan. Pertama kali sujud di dalam masjid, tidak apa yang dapat ditahan melainkan rasa syukur dan titisan air mata. Di kesempatan di masjid nabawi juga, kami menziarahi makam Nabi, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Dan Alhamdulillah berkesempatan bersolat di raudhah . perkuburan baqi’ dan masjid quba antara tempat yang diziarahi. Namun begitu, tempat yang paling menyentuh perasaan apabila dibawa ke perkuburan perang uhud di jabal uhud. Di sinilah makam Saidina Hamzah, Mus’ab bin Umair di tempatkan. Mendengar kisah perjuangan mereka, nampak terlalu jauh dengan perjuangan yang kita curahkan buat islam. Walaupun begitu, doa dan roh semangat perjuangan mereka tetap kita perlukan dalam menderap tenaga, harta dan nyawa untuk Islam.
Setelah lebih kurang 4 hari di Madinah, kami ke mekah untuk menunaikan umrah. Bermiqat di bir ali dan berpakaian ihram cukup menginsafkan. Berpakaian putih, tiada jahitan, tiada wangian. Selama lebih kurang 5 jam perjalanan, kami tiba di masjidil haram untuk menunaikan umrah. Nah, sekali lagi air mata tak tertahan. Kaabah betul-betul berada di depan mata. Alhamdulillah... Di mekkah, kesempatan untuk menziarahi jabal tsur, jabal rahmah dan jabal hira’ cukup memberikan peringatan dan kesan yang mendalam. Huh, begitu tinggi pengorbanan Nabi dan sahabat-sahabat dalam menegakkan agama Allah untuk ummat baginda. Melihat tingginya kedudukan Gua Hira’, tempat baginda menerima wahyu pertama cukup mengharukan apatah lagi dengan cuaca yang mencecah 45 darjah. Tapi masih ada lagi yang menafikan Al-Quran dari sudut hukumnya dan saya kira orang yang menolak al-Quran itu semestinya orang yang tidak pernah melihat dan merasai susahnya Nabi menerima wahyu dan menyampaikannya pada ummat. Melawat padang arafah yang cukup-cukup luas amat menginsafkan dan dikhabarkan di situlah ummat manusia akan dikumpulkan kelak. Kesempatan bersolat di masjidil haram juga tidak dilepaskan. bertawaf serta ber saie dapat mendidik jiwa dalam mengajar erti pengorbanan. Apa-apa pun, doa kita supaya kita semua dipilih oleh Nya untuk menjadi tetamu Nya pada bila-bila masa, serta menjadi hamba Nya yang taat, Amin ya Rabbal Alamin.
Al-Fatihah buat Fathi Yakan

Assalamualaikum w.b.t
Di kesempatan ini marilah kita sama-sama menghadiahkan Al-Fatihah buat Dr. Fathi Yakan. Seorang tokoh Ikhwan dan ikon gerakan Islam massa yang menyerahkan seluruh jiwa, raga, harta dan benda beliau demi perjuangan Islam. Benar, Allah taala tidak menghilangkan ilmu dengan menariknya dari dada-dada manusia, tetapi Allah menarik ilmu Nya dengan mematikan para Ulama'. Pepatah melayu ada mengatakan yang patah, akan tumbuh dan yang hilang akan berganti. namun, siapakah yang akan tumbuh dan menggantikan beliau, Dr. Fahti Yakan??
Al-Fatihah.
moga Roh jihad dan perjuangan nya mengalir dalam tubuh dan buluh darah kita.
Friday, May 22, 2009
Lawatan ke Tapak Projek Kampus Tetap UPSI
Pada jam 9.15 pagi, kami dibawa oleh wakil pemaju syarikat Kumpulan Sakata Sdn Bhd, iaitu En Meor dengan menaiki pajero. Kami di bawa melawat keseluruhan tapak projek yang memakan masa selama 2 jam. Di kesempatan bersama En Meor, kami diberi penerangan secara menyeluruh tentang perkembangan projek yang dijalankan. Alhamdulillah, kami mengira ada perkembangan yang positif mengenai pembinaan kampus tetap. Dengan bilangan 18 sub kontraktor, 700 orang pekerja dan akan bertambah bilangan 1000-2000 pekerja menjelang bulan oktober ini, kampus tetap dijangka siap seperti yang telah dijanjikan iaitu pada bulan oktober tahun 2010.
Kami juga berkesempatan melihat sendiri bagaimana kerja-kerja pembinaan dijalankan. Kami juga sempat mengambil beberapa angle gambar untuk menjadikan satu dokumentasi bagi perjalanan dan perkembangan projek tersebut. Melihat daripada pembangunan kampus tersebut, saya kira ianya cukup untuk menampung mahasiswa-mahasiswa pada masa akan datang. Yang paling diutamakan untuk disiapkan oleh pemaju adalah dewan konvokesyen yang boleh menempatkan 40000 hingga 50000 orang pada satu-satu masa. Dengan suasana pembinaan yang cukup meriah, kami cukup yakin bahawa kampus ini boleh disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan, insyaAllah.
Pada akhir pertemuan, kami sempat juga berjumpa dengan CEO syarikat yang terbabit iaitu En Amin. Seorang yang cukup tenang dan professional dalam memberikan pandangan dan luahan pendapat. Kami sempat diberikan motivasi yang cukup memberikan kami semangat. Manakan tidak, syarikat Sakata tersebut adalah salah satu syarikat yang dimiliki oleh bumiputra sepenuhnya. Akhir kata, kami mengharapkan agar pembangunan ini berjaya disiapkan pada tempoh yang telah ditetapkan. Kami juga berharap semua mahasiswa bersabar dan kami di peringkat MPP Mahasiswa sentiasa bersedaya mungkin menjaga kebajikan mahasiswa semua. Kami juga ingin mengingatkan mana-mana pihak supaya projek dan pembangunan ini tidak dijadikan satu alat mainan politik yang menjadikan kami sebagai mahasiswa mangsanya.
“Mahasiswa Kebajikan”
Akmal Madzir,
MPP UPSI
Jurucakap Majlis Perwakilan Mahasiswa Negara (MPMN)







