Friday, May 22, 2009

Lawatan ke Tapak Projek Kampus Tetap UPSI



Pada pagi tadi, saya bersama saudara Zulhilmi, Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPP UPSI 08/09 telah melakukan lawatan mengejut ke tapak projek kampus tetap UPSI di Proton City. Tujuan kami ke sana adalah untuk mendapatkan maklumat yang telus lagi lengkap bagi menjawab persoalan mahasiswa mengenai progress pembangunan tapak projek tersebut.

Pada jam 9.15 pagi, kami dibawa oleh wakil pemaju syarikat Kumpulan Sakata Sdn Bhd, iaitu En Meor dengan menaiki pajero. Kami di bawa melawat keseluruhan tapak projek yang memakan masa selama 2 jam. Di kesempatan bersama En Meor, kami diberi penerangan secara menyeluruh tentang perkembangan projek yang dijalankan. Alhamdulillah, kami mengira ada perkembangan yang positif mengenai pembinaan kampus tetap. Dengan bilangan 18 sub kontraktor, 700 orang pekerja dan akan bertambah bilangan 1000-2000 pekerja menjelang bulan oktober ini, kampus tetap dijangka siap seperti yang telah dijanjikan iaitu pada bulan oktober tahun 2010.


Kami juga berkesempatan melihat sendiri bagaimana kerja-kerja pembinaan dijalankan. Kami juga sempat mengambil beberapa angle gambar untuk menjadikan satu dokumentasi bagi perjalanan dan perkembangan projek tersebut. Melihat daripada pembangunan kampus tersebut, saya kira ianya cukup untuk menampung mahasiswa-mahasiswa pada masa akan datang. Yang paling diutamakan untuk disiapkan oleh pemaju adalah dewan konvokesyen yang boleh menempatkan 40000 hingga 50000 orang pada satu-satu masa. Dengan suasana pembinaan yang cukup meriah, kami cukup yakin bahawa kampus ini boleh disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan, insyaAllah.

Pada akhir pertemuan, kami sempat juga berjumpa dengan CEO syarikat yang terbabit iaitu En Amin. Seorang yang cukup tenang dan professional dalam memberikan pandangan dan luahan pendapat. Kami sempat diberikan motivasi yang cukup memberikan kami semangat. Manakan tidak, syarikat Sakata tersebut adalah salah satu syarikat yang dimiliki oleh bumiputra sepenuhnya. Akhir kata, kami mengharapkan agar pembangunan ini berjaya disiapkan pada tempoh yang telah ditetapkan. Kami juga berharap semua mahasiswa bersabar dan kami di peringkat MPP Mahasiswa sentiasa bersedaya mungkin menjaga kebajikan mahasiswa semua. Kami juga ingin mengingatkan mana-mana pihak supaya projek dan pembangunan ini tidak dijadikan satu alat mainan politik yang menjadikan kami sebagai mahasiswa mangsanya.

“Mahasiswa Kebajikan”

Akmal Madzir,

MPP UPSI

Jurucakap Majlis Perwakilan Mahasiswa Negara (MPMN)

Wednesday, April 15, 2009

Tahniah boleh, tapi ikon jangan

Tahniah kepada pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 08 yang diadakan di Genting Highlands Ahad lalu. Tahniah kepada Raja Lawak musim 2, Nabil kerana dipilih oleh pembaca sebagai Artis/ Bintang Paling Popular.

Hiburan, lagu-lagu, filem-filem merupakan satu kepuasan dalam naluri manusia. Itu memang tak dinafikan. Ya, hiburan yang kita perlukan namun bukan pesta hiburan yang melampau kita perlukan. Ya, kita ingin mendengar lagu-lagu, melihat filem-filem namun bukan lagu-lagu, filem-filem yang melalaikan yang kita inginkan.

Bagaimana kita ingin membentuk generasi masa hadapan sedangkan bakal generasi masa hadapan dihidangkan dengan ‘scene-scene’ yang tidak boleh menjana pemikiran dan intelektual malah jauh sekali untuk menjana pahala untuk selepas kematian. Mana mungkin berpeluk-peluk dengan yang bukan muhrim, pakaian mendedah boleh mencetuskan pemikiran dan membangunkan modal insan. Mana mungkin apabila pelakon-pelakon yang menang atas tiket filem atau drama yang penuh dengan ‘scene-scene’ yang menjana dosa mampu menjadi ikon kepada anak muda dalam menjana pemikiran mereka.

Sebab itu, jangan berasa hairan apatah lagi merasa pelik apabila ‘mereka-mereka’ inilah ikon anak-anak muda kita sekarang. Jangankan anak muda, anak tua, anak-anak turut menjadikan mereka ikon. Ke mana sudah tokoh-tokoh yang perlu dijadikan ikon? Jauh sekali nak jadikan manusia yang tidak pernah kita jumpa tapi paling kita sayang untuk dijadikan ikon. Paling malang tak kenal siapa itu Muhammad Bin Abdullah (Rasulullah).

Kalau kita tak kenal Al-fatih, kalau tak kenal Mus’ab, siapa itu Abu Talhah, tak mahu mengikut Khalid Al-walid, tak suka Tok Guru Nik Aziz, Tok Guru haji Hadi sekalipun, paling kurang pun, ambillah tok Imam kampong sendiri untuk di jadikan ikon berbanding ‘mereka-mereka’ yang ada.

Friday, April 10, 2009

Tahniah PM, Pasukan baru, Nizar, Manikumar dan Malcolm

Assalamualaikum w.b.t
Di kesempatan ini, saya mewakili semua mahasiswa UPSI mengucapkan tahniah dan selamat berkhidmat untuk rakyat. Mengutamakan kepentingan rakyat dan negara amat dituntut untuk kepentingan bersama. Tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Pasukan Baru PM, Ir. Nizar sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang, Manikumar sebagai Adun Bukit Selambau dan Malcolm sebagai Adun Batang Ai. Keadilan, keprihatinan dan kesungguhan pimpinan yang berkuasa perlu ditonjolkan oleh setiap pimpinan tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik yang sempit. Jangan menjadikan rakyat yang memilih sebagai hanya batu loncatan pemimpin-pemimpin untuk mengecapi kehormatan dan kekayaan yang sekaligus menindas rakyat marhain. Kami sebagai mahasiswa khususnya dan rakyat amnya, akan senantiasa menjadi "check and balance" kepada pimpinan dan akan menyokong mana yang hak serta menolak mana yang batil.

Akmal Bin Madzir
MPP UPSI
Ahli MPMN

Monday, March 23, 2009

Perubatan melalui kristal dan gelombang warna: Satu pembaharuan dalam bidang perubatan

Alhamdulillah, pada 15 Mac lalu, saya dan rakan-rakan telah berjaya mengadakan satu seminar rawatan alternatif iaitu perubatan melalui Kristal dan gelombang warna. Program yang menarik perhatian lebih 70 orang mahasiswa dan mahasiswi untuk hadir bagi bersama-sama mendalami ilmu perubatan alternatif yang amat diperlukan oleh semua bakal guru.

Banyak input yang diperolehi daripada seminar tersebut. Antaranya ilmu tentang pemilihan warna baju dan warna rumah. Kini, kita bukan memakai dan mengecat rumah secara sengaja tanpa ilmu di dada, tapi kini kita memakai dan mengecat dengan ilmu. Mana mungkin kita boleh melakukan sesuatu perkara tanpa ilmu. Ibadah lain kita perlukan ilmu, mengapa tidak dalam ibadah memakai baju dan mengecat rumah juga berlandaskan ilmu??

Bersama dengan Ustaz Rosli Ibrahim, Penceramah Seminar

Ketika sesi praktikal dan rawatan

Sangat cantik ciptaan Allah. Warna yang terbaik adalah warna pelangi, warna yang Allah taala pamerkan selepas hujan. Mengapa ketika solat Nabi galakkan memakai pakaian berwarna putih? Ketika peperangan, nabi memakai pakaian berwarna hitam?

Bagi tenaga gelombang pula, mengapa air yang diletakkan sebelah bacaan Al-Quran, molekulnya amat cantik tersusun berbanding air yang diletakkan di sebelah muzik rock? Mengapa dua cawan dari sumber air yang sama, tapi satu dibacakan ayat-ayat Allah, satu lagi tidak dibacakan apa-apa, pesakit boleh berasa panas dengan air yang dibacakan ayat-ayat Allah dan tidak jika minum air dalam cawan yang satu lagi? Hal ini kerana tenaga yang ada pada ayat-ayat Allah telah dipindah ke dalam air tersebut.

Di sini, saya sertakan sedikit catatan buat semua. Semoga semua beroleh manfaat.

Warna pakaian mengikut hari:

Ahad – hitam
Isnin- Putih/ungu
Selasa- pink
Rabu- Biru
Khamis – kuning/ oren
Jumaat- hijau
Sabtu- Merah

Warna ruang rumah:

Ruang tamu- hijau
Dapur- kuning
Bilik air- oren
Luar rumah- kuning cair
Bilik solat- putih

Kenyataan Bantahan PPSMI

KENYATAAN BANTAHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (MPP UPSI) 08/09 TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI).

Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI 08/09 membantah perlaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Malaysia yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

MPP UPSI melihat bahawa perlaksanaan PPSMI menyebabkan jurang pendidikan dan pencapaian pelajar-pelajar terhadap mata pelajaran sains, matematik dan bahasa inggeris antara sekolah-sekolah di Bandar dan luar Bandar semakin jauh. Hal ini menyebabkan pelajar-pelajar di Bandar lebih terkehadapan berbanding pelajar-pelajar luar Bandar yang semakin ketinggalan jika PPSMI ini diteruskan pada masa-masa akan datang. Perkara ini telah disahkan oleh kajian ahli akademik termasuk Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Pengarah Institut Peradaban Melayu UPSI.

MPP UPSI mengakui bahawa bahasa inggeris adalah bahasa antarabangsa dan amat diperlukan pada masa kini. Namun kami berpendapat bahawa PPSMI bukanlah satu penyelesaian yang terbaik dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar-pelajar. Bagi kami, cara yang terbaik adalah meningkatkan lagi penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran bahasa inggeris itu sendiri kerana terbukti PPSMI gagal dalam membantu pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah menguasai bahasa antarabangsa tersebut.

MPP UPSI juga menolak dakwaan kami terpengaruh dan menjadi agen kuasa politik luar. Bagi kami sebagai mahasiswa pengkhususan bidang pendidikan, kami melihat bahawa bahasa pengantar yang terbaik bagi mata pelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah mestilah ditukar semula ke dalam bahasa melayu. Kami juga menolek dakwaan bahawa PPSMI ini mendatangkan keburukan secara total, kerana bagi kami PPSMI ada kebaikan cuma ia lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan.

MPP UPSI menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama membantah PPSMI ini atas dasar kesedaran yang jelas dan bukannya atas dasar kepartian dan kuasa yang sempit. Akhir sekali, MPP UPSI ingin menegaskan sekali lagi, kami sebagai mahasiswa pendidikan memohon kepada Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula dan seterusnya melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu (PPSMM).

Akmal Bin Madzir

Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI 08/09

Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Negara (MPMN)

http://ibnumadzir.blogspot.com

23 Mac 2009.

Friday, February 27, 2009

Kenaikan Harga Tol, gula-gula apa yang kerajaan bagi?

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) - Kadar tol akan dinaikkan sehingga 33 peratus mulai 1 Mac ini, antaranya termasuk Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Dalam pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zin Mohamad, empat lagi leburaya ialah Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), kadar tol di plaza tol Pantai naik setinggi 33 peratus iaitu 50 sen dari RM1.50 kepada RM2 manakala di Plaza tol Damansara pula naik 30 sen dari RM1 kepada RM1.30 (naik 30%).

Kadar tol di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)(Lebuhraya E12) juga dinaikkan sehingga 33 peratus iaitu sebanyak 50 sen bagi kereta - dari RM1.50 hingga RM2.

Dalam kenyataannya, Mohamad Zin menyifatkan kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil.

Kenaikan kadar tol di lebuhraya-lebuhraya lain ialah:

Lebuhraya Utara-Selatan (Plus): Kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus dinaikkan 0.68 sen sekilometer bagi kereta. Bagaimanapun, kenaikan ini tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar.

Kadar tol Lebuhraya Sungai Besi (Besraya): Kadar tol dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kereta - dari RM1.30 kepada RM1.40 (naik 7.7%). Bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines kerana Tol Salak Selatan Jaya telah ditutup mulai semalam.

Lebuhraya Baru Pantai (NPE): Kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kereta - dari RM1.60 kepada RM2 (naik 25%).

Harakahdaily

Monday, February 9, 2009

Alfatihah...


Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang al Marhum Ustaz Roslan bin Sharum telah kembali kerahmatillah . Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan digolongkan dalam golongan hambanya yang soleh . Al-Fatihah.

Salam Takziah buat keluarga Allahyarham.