Friday, February 27, 2009

Kenaikan Harga Tol, gula-gula apa yang kerajaan bagi?

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) - Kadar tol akan dinaikkan sehingga 33 peratus mulai 1 Mac ini, antaranya termasuk Lebuhraya Utara Selatan (Plus).

Dalam pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zin Mohamad, empat lagi leburaya ialah Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), kadar tol di plaza tol Pantai naik setinggi 33 peratus iaitu 50 sen dari RM1.50 kepada RM2 manakala di Plaza tol Damansara pula naik 30 sen dari RM1 kepada RM1.30 (naik 30%).

Kadar tol di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)(Lebuhraya E12) juga dinaikkan sehingga 33 peratus iaitu sebanyak 50 sen bagi kereta - dari RM1.50 hingga RM2.

Dalam kenyataannya, Mohamad Zin menyifatkan kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil.

Kenaikan kadar tol di lebuhraya-lebuhraya lain ialah:

Lebuhraya Utara-Selatan (Plus): Kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus dinaikkan 0.68 sen sekilometer bagi kereta. Bagaimanapun, kenaikan ini tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar.

Kadar tol Lebuhraya Sungai Besi (Besraya): Kadar tol dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kereta - dari RM1.30 kepada RM1.40 (naik 7.7%). Bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines kerana Tol Salak Selatan Jaya telah ditutup mulai semalam.

Lebuhraya Baru Pantai (NPE): Kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kereta - dari RM1.60 kepada RM2 (naik 25%).

Harakahdaily

Monday, February 9, 2009

Alfatihah...


Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang al Marhum Ustaz Roslan bin Sharum telah kembali kerahmatillah . Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan digolongkan dalam golongan hambanya yang soleh . Al-Fatihah.

Salam Takziah buat keluarga Allahyarham.

Monday, February 2, 2009

Sidana 09


Tarikh : 28 Februari 2009 (Sabtu)
Tempat : Dewan Tunku Canselor UM
Masa : 8.00 - 12.00 malam

Ucapan perasmian SIDANA ’09
Oleh : Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Forum Sempena SIDANA ’09
”Mahasiswa Tempatan vs Mahasiswa Luar Negara”

Moderator:
Sdr. Shazni Munir Mohd Ithnin
Mahasiswa Universiti Malaya

Panelis 1:
Sdr. Mohd Ramadhan Fitri Elias
Mantan YDP MPMUM Sesi 2003/2004

Panelis 2:
Sdr. Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia

Panelis 3:
Prof. Madya Dr. Azmi Shaharom
Pensyarah Kanan,
Fakulti Undang-Undang UM

Tarikh : 1 Mac 2009 (Ahad)
Tempat : Dewan Kuliah Utama APIUM
Masa : 8.00 pagi - 5.00 petang

Ucaptama
Oleh:Prof Datuk Dr Gauth Jasmon
Naib Canselor
Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Pembentangan Kertas Kerja 1
Tema : Mahasiswa Sebagai Elemen Sedar Masyarakat
Oleh : YB Saifuddin Nasution
Ahli Parlimen Machang.

Pembentangan Kertas Kerja 2
Tema : Mahasiswa Menggugat di Era Baru
Oleh : Prof. Dr. Mohammad Abu Bakar
Dekan Fakulti Sastera UM.

Pembentangan Kertas Kerja 3
Tema : Pengukuhan Kesatuan Mahasiswa Islam
Oleh : Sdr. Muhammad Hisommudin Bakar
Mantan Presiden MPMUM Sesi 2001/2002.

Pembentangan Kertas Kerja 4
Tema : Membentuk Mahasiswa Islam Yang Berdaya Saing Dalam Memacu Ekonomi Masa Depan
Oleh : Tan Sri Syed Mohktar Al Bukhary
Pengerusi Yayasan Al Bukhary.

Surat jemputan untuk menghadiri program mula dihantar kepada semua kampus.Sebarang masalah boleh hubungi Ketua Unit Perhubungan SIDANA saudara Nik Razak (013-2965731) atau saudara Hasbie (013-2965619)

Monday, January 19, 2009

P036:Tahniah dan Selamat Berkhidmat


Ibnumadzir mengucapkan tahniah kepada YB Wahid Endut atas kejayaan dalam pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu yang menggantikan Allahyarham YB Dato' Razali Ismail (Mantan Timbalan Menteri Pelajaran). Semoga YB Wahid Endut dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat Kuala Terengganu khususnya dan Malaysia amnya dengan sebaik-baiknya. Akhir kata,

SELAMAT BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT!!

Tuesday, January 6, 2009

HIMPUNAN MENENTANG REJIM ZIONIS

Berita 1

Satu perhimpunan yang mensasarkan sekitar 1000 mahasiswa akan diadakan sebagai tanda bantahan kezaliman Zionis terhadap pendudukPalestin di Gaza. Butir-butir program adalah seperti berikut :

Tarikh : 9 Januari 2009
Hari : Jumaat
Tempat Berkumpul : Masjid Putra, Putrajaya
Masa : Selepas solat Jumaat
Tema Baju : Warna Hitam

Perhimpunan akan disusuli dengan serahan Memorandum kepada Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi.

Jenazah budak Palestin berusia 4 tahun, Lama Hamdan sedang dikebumikan di utara Gaza pada 30 Disember 2008 lalu-http://www.palestinkini.info/


Berita 2

Aman Palestin akan mengadakan rally Rise For Gaza di Stadium Melawati Shah Alam pada 10 Jan '09 (Sabtu), 10pg. Tlg kerahkan seramai mungkin termasuk anak2 utk tunjukkan keprihatinan. Al-Jazeera TV akan buat liputan. Kalau boleh bawa placard, banner atau kain rentang in English or Malay.

Semua Di jemput hadir.

Akmal Bin Madzir
Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI 08/09

Sunday, January 4, 2009

MPP UPSI:Kenyataan Bantahan terhadap kekejaman Israel

KENYATAAN BANTAHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

(MPP UPSI) 08/09 TERHADAP SERANGAN REGIM ISRAEL KE ATAS GAZA, PALESTIN.

Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI 08/09 mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap rejim zionis membedil rakyat Palestin dalam satu tindakan keganasan yang paling dasyat sejak merampas dan mengisytiharkan negara haram Israel pada tahun 1948 oleh Ben Oreon. Terbaru bermula detik hitam 27 Disember 2008, rejim zionis laknatullah menggunakan bentuk ketenteraan untuk menghancurkan palestin dan telah pun membunuh hampir ratusan nyawa dan memusnahkan pelbagai kemudahan awam.

Serangan terbabit telah pun menghancurkan Universiti Islam Gaza dan sebuah makmal juga hancur dalam serangan terbabit. Universiti ini dipilih untuk dijadikan sasaran selain banyak lagi pusat-pusat pemerintahan kerana rejim zionis menganggapnya sebagai salah satu simbol budaya penting bagi kerajaan Hamas. Serangan rejim Israel ini juga turut ditujukan untuk menghancurkan sejumlah terowong yang menghubungkan Gaza dengan Mesir. Terowong ini digunakan untuk menyeludup bekalan makanan, ubatan dan senjata untuk keperluan.

MPP UPSI menolak dakwaan Israel bahawa serangan terbaru ini adalah merupakan langkah keselamatan kerana serangan Israel ke atas Palestin telah lama dirancang. Zionis telah merancang serangan ini sejak 6 bulan yang lalu sebaik sahaja gencatan senjata berakhir 19 Disember yang lalu. Serangan roket yang dibuat oleh pejuang Palestin dijadikan sebab untuk mewajarkan tindakan kejam mereka itu.

MPP UPSI juga melihat serangan ini adalah masalah global yang perlu mendapat tentangan dari semua pihak. Serangan ini bukan hanya melibatkan isu sensitiviti agama, malah isu ini membabitkan isu kemanusiaan dan hak asasi rakyat Palestin telah diragut kejam oleh zionis. Mereka membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa malah terus menerus membunuh golongan emas, wanita dan kanak-kanak.

MPP UPSI menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama membantah tindakan kejam rejim zionis ini. Dan yang terbaru, Israel telah mengeluarkan arahan dengan kekuatan 6500 anggota untuk menguasai penempatan berdekatan dengan Tembok Buraq untuk dijadikan tempat ibadat mereka.

Akhir sekali, MPP UPSI ingin merakamkan rasa sedih yang amat mendalam ke atas penderitaan yang menimpa rakyat Palestin di Gaza dalam keadaan seluruh dunia menyambut tahun baru 1430H/2009. MPP UPSI juga akan cuba mempergiatkan usaha seperti kutipan tabung derma, edaran risalah dan tayangan video Palestin. Namun, solat hajat dan doa daripada semua pihak amat diperlukan dalam kita sama-sama mendoakan kesjahteraan dan ketenteraman rakyat Palestin di Gaza.

Akmal Bin Madzir

Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI 08/09

http://ibnumadzir.blogspot.com

4 Januari 2009

Sunday, December 28, 2008

Selamat Bersemadi Cik Awang

Assalamualaikum..Pada semua pembaca, marilah kita sama-sama doakan arwah Cik Awang. Walaupun saudara dan saudari tidak mengenali, tapi beliau amat saya kenali di bandar jengka. Al-Fatihah...

Terkejut membaca blog ust aris, Che' Awang atau Jusoh ,54 tahun kembali ke rahmatullah malam tadi ,malam Jumaat dan telah selamat disemadikan pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Bandar Jengka setelah beberapa hari terlantar di rumahnya akibat serangan penyakit dipercayai Cikungunya.

Dalam suasana hidup serba sederhana sebagai pemandu van mengangkut pelajar,beliau telah menghabiskan sisa hidupnya menyumbang bakti untuk perjuangan Islam khususnya di Bandar Jengka.Tanpa jawatan penting di dalam PAS,Allahyarham Che Awang melakuklan tugas penting yang tak ramai orang sanggup lakukan.

Setiap kali jamuan raya,kenduri tahlil diadakan di Masjid Lama yang memerlukan tenaga penting di ceruk dapur ,bahagian penting yang tidak popular,tanpa upah tanpa pujian,Che Awang pastinya ada di situ.Dia akan bertarung dengan asap,dia sudah lali dengan panasnya bara api,dia akan berada seawal mungkin dan pulang seusai program,siap pinggan dibasuh,periuk di tiarap.

Sudah puluhan ribu rakyat Jengka yang makan nasi dan gulai dari air tangannya.Dari Kak Odah di Matau yang jadi mangsa banjir sampai lah Pak Hing di Jenderak ,semuanya dah rasa masakan Che Awang.Busu dan Lutfi dah hilang regunya di dapur Masjid Lama.

Ketika musim pilihanraya,Che Awang memikul buluh,memacak bendera bersama anak muda,menjaga poster dan sepanduk dari gangguan lawan.Dia jugalah yang mengusung tiang khemah,memasang,membuka ,melipat.Tak de siapa yang janjikan upah untuknya.Pada Che Awang,upah paling besar yang tidak ternilai harganya hanyalah ganjaran Allah di hari akhirat.

Hari ini khidmat Che Awang sudah berakhir.Dia sudah dijemput Khaliknya untuk pulang untuk menerima ganjaran amal baktinya.Dia tak ke dapur lagi,tak mengusung buluh lagi.

Dari Penulis: Saya kenal Cik Awang ni dari sejak darjah satu, iaitu semenjak bermukim di Jengka.Adik saya sendiri selama lebih 3 tahun menaiki van kuning beliau.Kalau berjumpa di kedai Pak Sedara (Pak Syeikh Nazri), pasti senyuman dan salaman yang didahuluinya.terakhir jumpa dengan beliau adalah ketika solat hari raya aidiladha. Ya Allah, seorang pekerja Agama MU telah kau ambil kembali ke rahmatullah. moga roh beliau berada bersama-sama Hassan Al-Banna, Mustafa Masyhur dan Syed Qutb serta sesiapa saja yang engkau redhai..Semoga keluarga Cik Awang diberikan ketabahan kerana saya juga melihat betapa beliau dan keluarga begitu bersusah payah dalam mencari rezeki. Selepas ini, tidak tahu lagi siapa yang akan membawa van "Bas UiTM" berwarna kuning kepunyaan beliau.......sebak..

Sunday, December 21, 2008

Kenali Tokoh Perjuangan MPSI: Ibrahim Hj Yaakob (sambungan)

Penglibatan awal

Pendedahan dalam aspek politik dan pengalaman yang diperolehi di MPSI telah membentuk IBHY sebagai seorang Melayu yang mencintai bangsa, agama dan negara. Dalam memastikan perjuangannya dapat dihebahkan kepada umum, IBHY telah memperjuangkan ideologi politiknya melalui penulisan beliau di dalam akhbar Majlis.[1] Penulisan IBHY juga turut tersiar di dalam akhbar-akhbar terkemuka pada ketika itu seperti akhbar Warta Malaya dan Utusan Melayu.[2] Penulisan beliau meliputi aspek kehidupan orang Melayu sama ada dari perspektif ekonomi, pelajaran, cara hidup orang Melayu dan berkaitan dengan bangsa asing serta dasar British di Tanah Melayu. Sebelum tertubuhnya KMM, IBHY telah terlibat sama ada secara langsung atau tidak dengan beberapa pertubuhan. Semasa IBHY menuntut di MPSI, beliau dan rakan-rakanya telah mewujudkan satu persatuan sulit yang “berhaluan sosialis” iaitu Ikatan Semenanjung Malaya/Borneo pada tahun 1929 yang memperjuangkan gagasan “Malaya Raya”.[3]

Gesaan IBHY terhadap masyarakat Melayu supaya menubuhkan Persatuan Kebangsaan Melayu[4] bagi menyatukan orang-orang Melayu untuk menyelamatkan hak kebangsaaan telah memperlihatkan dirinya sebagai pengerak nasionalisme Melayu di Tanah Melayu. Selain itu, penglibatan IBHY di dalam kelab dan pertubuhan sebelum tertubuhnya KMM antaranya meliputi Kelab Melayu Bentung pada tahun 1931-1934,[5] Persatuan Melayu Selangor pada tahun 1938, Persatuan Belia Melayu[6] dan beberapa persatuan yang menjadi medan IBHY menperjuang dan memperkembangkan ideologinya.

Penglibatan IBHY Dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM)

Penglibatan IBHY dalam KMM bermula selepas Persatuan Belia Melayu[7] yang dianggotainya telah mengalami proses tranformasi. Pada peringkat awal Persatuan Belia Melayu hanya terlibat di dalam aktiviti sosial sahaja.[8] Namun, IBHY bersama rakan-rakannya telah menjadikan Persatuan Belia Melayu bermotifkan politik. Selaras dengan perubahan tersebut, nama Persatuan Belia Melayu telah ditukar kepada Kesatuan Melayu Muda (KMM) atau turut dikenali Young Malay Union.[9] Pertukaran nama tersebut menjadikan KMM[10] telah tertubuh secara rasmi pada tahun 1938[11] di Kuala Lumpur sebagai sebuah pertubuhan nasional oleh IBHY dan rakan-rakannya.[12] IBHY telah bertindak sebagai Yang Dipertua KMM dengan dibantu rakan-rakannya seperti Onan Haji Siraj yang bertindak sebagai Naib Yang Dipertua, Abdul Karim Rashid sebagai setiausaha, Haji Othman Abdullah sebagai bendahari, Hassan Manan, Ahmad Boestaman, Isa Muhamad, Ishak Haji Mohammed, Abdul Karim Rashid, Sultan Djenain dan beberapa orang tokoh yang terlibat secara awal dalam KMM.[13] Selain mereka tokoh-tokoh terkemuka pernah menyertai KMM antaranya Dato’ Onn Ja’afar yang menganggotai KMM pada bulan April 1942[14], Dr. Burhanuddin al-Helmi pada tahun 1939[15] dan beberapa orang tokoh yang kemudiannya menjadi pencetus kepada semangat nasionalisme di Tanah Melayu.

Pembentukan KMM menjadikan ia pertubuhan yang bersifat radikal berbanding dengan persatuan yang lain di Tanah Melayu.[16] Anggapan sesetengah pihak mengatakan KMM adalah pertubuhan berhaluan kiri atau radikal telah disangkal sendiri oleh IBHY melalui bukunya bertajuk Musa dan Bangsa Melayu yang ditulis pada tahun 1951.[17] IBHY menjelaskan pertubuhan KMM bukanlah bersifat radikal semata–mata. Hal ini jika dilihat, KMM adalah sebuah persatuan yang berusaha untuk melahirkan kesedaran cintakan agama, bangsa dan negara. Selain itu juga, KMM ditubuhkan adalah bermatlamat untuk memperjuangkan kemerdekaan penuh Tanah Melayu selain daripada antiBritish dan antifeudal.[18] Walau bagaimanapun KMM dilabelkan ia dianggap sebagai permulaan kemunculan gerakan nasionalisme Melayu yang lebih bersifat progresif khususnya melalui pemikiran IBHY.

KMM di bawah pentadbiran IBHY telah menjadi satu medan perjuangan bagi membentuk kuasa rakyat bawahan dalam menentukan nasib orang Melayu. Bagi IBHY, KMM dikhaskan untuk golongan pemuda bawahan.[19] Hal ini bertujuan bagi menunjukkan protes beliau terhadap penguasaan golongan bangsawan dalam kepimpinan politik Melayu seperti Persatuan Melayu Selangor yang dipimpin oleh Tengku Ismail Tengku Muhammad Yasin.[20] Oleh itu, ideologi IBHY melalui KMM secara tidak langsung telah membawa satu anjakan terhadap idea pemikiran baru kepada orang Melayu dengan memberi satu bentuk kepimpinan berasaskan kuasa rakyat untuk rakyat.

Bagi IBHY pembentukan KMM adalah bertujuaan untuk melenyapkan belenggu penjajahan asing dan sebagai gantinya melahirkan suatu Malaya yang bebas.[21] Oleh itu melalui KMM, IBHY telah bertindak selaras dengan cita-cita dan ideologinya semenjak menuntut di MPSI iaitu mengabungkan Tanah Melayu dan Indonesia di bawah satu konsep “Melayu Raya”.[22] Pengabungan ini selaras dengan slogan yang dibawa oleh KMM iaitu “satu untuk semua:semua untuk satu”.[23] Konsep Melayu Raya yang di bawa oleh IBHY adalah bagi memastikan orang-orang Melayu dapat bersatu di bawah satu pertubuhan atau bangsa.


[1] Ibid, hlm. 48.Lihat juga pada tahun 1935, Ibrahim Yaacob menjadi pengarang akhbar Majlis bagi mengantikan Othman Kalam yang berpindah ke Singapura untuk bertugas dengan akhbar Warta Malaya. Akhbar Majlis juga turut bertindak sebagai penyebaran propaganda KMM dalam buku Zakiah Hanum, Tercabarnya Maruah Bangsa, Petaling Jaya: Lajmeidakh Sdn. Bhd, 1987, hlm. 1.

[2] Bachtiar Djamily, Ibrahim Yaacob Pahlawan Nusantara, hlm.187.

[3] Ibid, hlm. 189.

[4] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 323.

[5] Ibid, hlm. 325.

[6] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 2004, hlm.244.

[7] Persatuan yang dianggotai oleh pelajar-pelajar antaranya, Sekolah Teknik Kuala Lumpur yang kemudiannya ditukar kepada Technical College dan pada tahun 1970-an ditukar menjadi Universiti Teknologi Malaysia, Sekolah Pertanian Serdang yang bertukar nama kepada Agriculture College of Serdang dan ditukar kepada Universiti Putera Malaysia untuk keterangan lanjut sila lihat Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm. 52.

[8] Persatuan ini adalah bersifat semipolitik iaitu untuk melahirkan kesedaran poltik di kalangan anggota ahli sahaja dan tidak terlibat secara langsung dalam bidang politik.Lihat juga Ibid, hlm. 52.

[9] Bachtiar Djamily, Ibrahim Yaacob Pahlawan Nusantara, hlm.194.

[10] Nama KMM telah diberikan oleh Sutan Djenain iaitu seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia yang bertindak sebagai penaung KMM. Keterangan lanjut Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm. 52. Lihat juga Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 1998, hlm. 98.

[11] Mohd Isa Othman, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945 Tumpuan di Negeri Kedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm. 7. Lihat juga William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 251.Lihat juga Zulhilmi Ramli & Dalai Abdul Ghani, Kenegaraan Malaysia Isu-isu Dalam Pembinaan Bangsa, Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributoins, 2003, hlm. 121.Lihat juga Kassim Thukiman, Malaysia Perspektif Sejarah dan Politik, Skudai: Universiti Teknologi Malaysia, 2002, hlm.102.Untuk rujukan lihat juga Abdul Karim Abdullah & Ghazali Basri, Latar Belakang & Sejarah Malaysia Moden, Petaling Jaya: Penerbitan Abadi Sdn. Bhd, 2003, hlm. 225.

[12] Menurut Mustapha Hussain, KMM ditubuhkan oleh ‘pemuda-pemuda sedar’ atau ‘progresif’ yang dalam lingkungan usia lewat 20-an dalam rujukan Zulhilmi Ramli & Dalai Abdul Ghani, Kenegaraan Malaysia Isu-isu Dalam Pembinaan Bangsa, hlm. 122.

[13] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 251.

[14] Ramlah Adam, Dato’Onn Ja’afar Pengasas Kemerdekaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, hlm.68.

[15] Abdul Rahman Haji Abdullah, Gerakan Anti Penjajahan di Malaysia 1511-1950 : Pengaruh Agama & Tarikat, Kuala Lumpur : Penerbit Kintan Sdn. Bhd, 1994, hlm. 125

[16] Zulhilmi Ramli & Dalai Abdul Ghani, Kenegaraan Malaysia Isu-isu Dalam Pembinaan Bangsa, hlm.121.Untuk rujukan lihat juga Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya Resistance & Social Conflict During And After The Japanese Occupation, 1941-1946, Singapore: Singapore University Press, 1983, hlm. 11.

[17] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.53.

[18] Abu Bakar Nordin et. All, Aspirasi Kebitaraan, Ibu Kandung Suluh Budiman, hlm.115.

[19] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.54.

[20] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 326.

[21] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 252.

[22] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.54.Lihat juga William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 252. lihat juga Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 327.

[23] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 326.

Sunday, December 7, 2008

Takziah dan Salam Aildiladha


Assalamualaikum w.b.t
Penulis ingin mengucapkan Takziah kepada semua mangsa Tragedi Tanah Runtuh dan Banglo Ranap di Bukit Antarabangsa. Sesungguhnya ada hikmah positif yang boleh di mabil oleh semua pihak sama ada individu, kerajaan mahupun swasta.

Penulis mewakili Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI sesi 08/09 mengucapkan Salam Aildiladha kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang beragama Islam dan tidak lupa kepada semua kakitangan UPSI.

Penulis juga ingin mengucapkan Salam Aildiladha kepada semua yang mengunjungi Blog ini. Semoga semua pengunjung dapat manfaat daripada Aildiladha 1429H ini.

Insyaallah, Majlis Korban di bawah seliaan Pusat Islam UPSI akan diadakan di Kolej Kediaman Proton City pada 10hb Disember 2008 bersamaan 12 Zulhijjah 1429H.

Akmal Bin Madzir
Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah,
MPP UPSI 08/09