Sunday, December 21, 2008

Kenali Tokoh Perjuangan MPSI: Ibrahim Hj Yaakob (sambungan)

Penglibatan awal

Pendedahan dalam aspek politik dan pengalaman yang diperolehi di MPSI telah membentuk IBHY sebagai seorang Melayu yang mencintai bangsa, agama dan negara. Dalam memastikan perjuangannya dapat dihebahkan kepada umum, IBHY telah memperjuangkan ideologi politiknya melalui penulisan beliau di dalam akhbar Majlis.[1] Penulisan IBHY juga turut tersiar di dalam akhbar-akhbar terkemuka pada ketika itu seperti akhbar Warta Malaya dan Utusan Melayu.[2] Penulisan beliau meliputi aspek kehidupan orang Melayu sama ada dari perspektif ekonomi, pelajaran, cara hidup orang Melayu dan berkaitan dengan bangsa asing serta dasar British di Tanah Melayu. Sebelum tertubuhnya KMM, IBHY telah terlibat sama ada secara langsung atau tidak dengan beberapa pertubuhan. Semasa IBHY menuntut di MPSI, beliau dan rakan-rakanya telah mewujudkan satu persatuan sulit yang “berhaluan sosialis” iaitu Ikatan Semenanjung Malaya/Borneo pada tahun 1929 yang memperjuangkan gagasan “Malaya Raya”.[3]

Gesaan IBHY terhadap masyarakat Melayu supaya menubuhkan Persatuan Kebangsaan Melayu[4] bagi menyatukan orang-orang Melayu untuk menyelamatkan hak kebangsaaan telah memperlihatkan dirinya sebagai pengerak nasionalisme Melayu di Tanah Melayu. Selain itu, penglibatan IBHY di dalam kelab dan pertubuhan sebelum tertubuhnya KMM antaranya meliputi Kelab Melayu Bentung pada tahun 1931-1934,[5] Persatuan Melayu Selangor pada tahun 1938, Persatuan Belia Melayu[6] dan beberapa persatuan yang menjadi medan IBHY menperjuang dan memperkembangkan ideologinya.

Penglibatan IBHY Dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM)

Penglibatan IBHY dalam KMM bermula selepas Persatuan Belia Melayu[7] yang dianggotainya telah mengalami proses tranformasi. Pada peringkat awal Persatuan Belia Melayu hanya terlibat di dalam aktiviti sosial sahaja.[8] Namun, IBHY bersama rakan-rakannya telah menjadikan Persatuan Belia Melayu bermotifkan politik. Selaras dengan perubahan tersebut, nama Persatuan Belia Melayu telah ditukar kepada Kesatuan Melayu Muda (KMM) atau turut dikenali Young Malay Union.[9] Pertukaran nama tersebut menjadikan KMM[10] telah tertubuh secara rasmi pada tahun 1938[11] di Kuala Lumpur sebagai sebuah pertubuhan nasional oleh IBHY dan rakan-rakannya.[12] IBHY telah bertindak sebagai Yang Dipertua KMM dengan dibantu rakan-rakannya seperti Onan Haji Siraj yang bertindak sebagai Naib Yang Dipertua, Abdul Karim Rashid sebagai setiausaha, Haji Othman Abdullah sebagai bendahari, Hassan Manan, Ahmad Boestaman, Isa Muhamad, Ishak Haji Mohammed, Abdul Karim Rashid, Sultan Djenain dan beberapa orang tokoh yang terlibat secara awal dalam KMM.[13] Selain mereka tokoh-tokoh terkemuka pernah menyertai KMM antaranya Dato’ Onn Ja’afar yang menganggotai KMM pada bulan April 1942[14], Dr. Burhanuddin al-Helmi pada tahun 1939[15] dan beberapa orang tokoh yang kemudiannya menjadi pencetus kepada semangat nasionalisme di Tanah Melayu.

Pembentukan KMM menjadikan ia pertubuhan yang bersifat radikal berbanding dengan persatuan yang lain di Tanah Melayu.[16] Anggapan sesetengah pihak mengatakan KMM adalah pertubuhan berhaluan kiri atau radikal telah disangkal sendiri oleh IBHY melalui bukunya bertajuk Musa dan Bangsa Melayu yang ditulis pada tahun 1951.[17] IBHY menjelaskan pertubuhan KMM bukanlah bersifat radikal semata–mata. Hal ini jika dilihat, KMM adalah sebuah persatuan yang berusaha untuk melahirkan kesedaran cintakan agama, bangsa dan negara. Selain itu juga, KMM ditubuhkan adalah bermatlamat untuk memperjuangkan kemerdekaan penuh Tanah Melayu selain daripada antiBritish dan antifeudal.[18] Walau bagaimanapun KMM dilabelkan ia dianggap sebagai permulaan kemunculan gerakan nasionalisme Melayu yang lebih bersifat progresif khususnya melalui pemikiran IBHY.

KMM di bawah pentadbiran IBHY telah menjadi satu medan perjuangan bagi membentuk kuasa rakyat bawahan dalam menentukan nasib orang Melayu. Bagi IBHY, KMM dikhaskan untuk golongan pemuda bawahan.[19] Hal ini bertujuan bagi menunjukkan protes beliau terhadap penguasaan golongan bangsawan dalam kepimpinan politik Melayu seperti Persatuan Melayu Selangor yang dipimpin oleh Tengku Ismail Tengku Muhammad Yasin.[20] Oleh itu, ideologi IBHY melalui KMM secara tidak langsung telah membawa satu anjakan terhadap idea pemikiran baru kepada orang Melayu dengan memberi satu bentuk kepimpinan berasaskan kuasa rakyat untuk rakyat.

Bagi IBHY pembentukan KMM adalah bertujuaan untuk melenyapkan belenggu penjajahan asing dan sebagai gantinya melahirkan suatu Malaya yang bebas.[21] Oleh itu melalui KMM, IBHY telah bertindak selaras dengan cita-cita dan ideologinya semenjak menuntut di MPSI iaitu mengabungkan Tanah Melayu dan Indonesia di bawah satu konsep “Melayu Raya”.[22] Pengabungan ini selaras dengan slogan yang dibawa oleh KMM iaitu “satu untuk semua:semua untuk satu”.[23] Konsep Melayu Raya yang di bawa oleh IBHY adalah bagi memastikan orang-orang Melayu dapat bersatu di bawah satu pertubuhan atau bangsa.


[1] Ibid, hlm. 48.Lihat juga pada tahun 1935, Ibrahim Yaacob menjadi pengarang akhbar Majlis bagi mengantikan Othman Kalam yang berpindah ke Singapura untuk bertugas dengan akhbar Warta Malaya. Akhbar Majlis juga turut bertindak sebagai penyebaran propaganda KMM dalam buku Zakiah Hanum, Tercabarnya Maruah Bangsa, Petaling Jaya: Lajmeidakh Sdn. Bhd, 1987, hlm. 1.

[2] Bachtiar Djamily, Ibrahim Yaacob Pahlawan Nusantara, hlm.187.

[3] Ibid, hlm. 189.

[4] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 323.

[5] Ibid, hlm. 325.

[6] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 2004, hlm.244.

[7] Persatuan yang dianggotai oleh pelajar-pelajar antaranya, Sekolah Teknik Kuala Lumpur yang kemudiannya ditukar kepada Technical College dan pada tahun 1970-an ditukar menjadi Universiti Teknologi Malaysia, Sekolah Pertanian Serdang yang bertukar nama kepada Agriculture College of Serdang dan ditukar kepada Universiti Putera Malaysia untuk keterangan lanjut sila lihat Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm. 52.

[8] Persatuan ini adalah bersifat semipolitik iaitu untuk melahirkan kesedaran poltik di kalangan anggota ahli sahaja dan tidak terlibat secara langsung dalam bidang politik.Lihat juga Ibid, hlm. 52.

[9] Bachtiar Djamily, Ibrahim Yaacob Pahlawan Nusantara, hlm.194.

[10] Nama KMM telah diberikan oleh Sutan Djenain iaitu seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia yang bertindak sebagai penaung KMM. Keterangan lanjut Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm. 52. Lihat juga Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 1998, hlm. 98.

[11] Mohd Isa Othman, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945 Tumpuan di Negeri Kedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm. 7. Lihat juga William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 251.Lihat juga Zulhilmi Ramli & Dalai Abdul Ghani, Kenegaraan Malaysia Isu-isu Dalam Pembinaan Bangsa, Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributoins, 2003, hlm. 121.Lihat juga Kassim Thukiman, Malaysia Perspektif Sejarah dan Politik, Skudai: Universiti Teknologi Malaysia, 2002, hlm.102.Untuk rujukan lihat juga Abdul Karim Abdullah & Ghazali Basri, Latar Belakang & Sejarah Malaysia Moden, Petaling Jaya: Penerbitan Abadi Sdn. Bhd, 2003, hlm. 225.

[12] Menurut Mustapha Hussain, KMM ditubuhkan oleh ‘pemuda-pemuda sedar’ atau ‘progresif’ yang dalam lingkungan usia lewat 20-an dalam rujukan Zulhilmi Ramli & Dalai Abdul Ghani, Kenegaraan Malaysia Isu-isu Dalam Pembinaan Bangsa, hlm. 122.

[13] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 251.

[14] Ramlah Adam, Dato’Onn Ja’afar Pengasas Kemerdekaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, hlm.68.

[15] Abdul Rahman Haji Abdullah, Gerakan Anti Penjajahan di Malaysia 1511-1950 : Pengaruh Agama & Tarikat, Kuala Lumpur : Penerbit Kintan Sdn. Bhd, 1994, hlm. 125

[16] Zulhilmi Ramli & Dalai Abdul Ghani, Kenegaraan Malaysia Isu-isu Dalam Pembinaan Bangsa, hlm.121.Untuk rujukan lihat juga Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya Resistance & Social Conflict During And After The Japanese Occupation, 1941-1946, Singapore: Singapore University Press, 1983, hlm. 11.

[17] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.53.

[18] Abu Bakar Nordin et. All, Aspirasi Kebitaraan, Ibu Kandung Suluh Budiman, hlm.115.

[19] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.54.

[20] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 326.

[21] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 252.

[22] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.54.Lihat juga William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 252. lihat juga Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 327.

[23] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 326.

No comments: