Sunday, December 28, 2008

Selamat Bersemadi Cik Awang

Assalamualaikum..Pada semua pembaca, marilah kita sama-sama doakan arwah Cik Awang. Walaupun saudara dan saudari tidak mengenali, tapi beliau amat saya kenali di bandar jengka. Al-Fatihah...

Terkejut membaca blog ust aris, Che' Awang atau Jusoh ,54 tahun kembali ke rahmatullah malam tadi ,malam Jumaat dan telah selamat disemadikan pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Bandar Jengka setelah beberapa hari terlantar di rumahnya akibat serangan penyakit dipercayai Cikungunya.

Dalam suasana hidup serba sederhana sebagai pemandu van mengangkut pelajar,beliau telah menghabiskan sisa hidupnya menyumbang bakti untuk perjuangan Islam khususnya di Bandar Jengka.Tanpa jawatan penting di dalam PAS,Allahyarham Che Awang melakuklan tugas penting yang tak ramai orang sanggup lakukan.

Setiap kali jamuan raya,kenduri tahlil diadakan di Masjid Lama yang memerlukan tenaga penting di ceruk dapur ,bahagian penting yang tidak popular,tanpa upah tanpa pujian,Che Awang pastinya ada di situ.Dia akan bertarung dengan asap,dia sudah lali dengan panasnya bara api,dia akan berada seawal mungkin dan pulang seusai program,siap pinggan dibasuh,periuk di tiarap.

Sudah puluhan ribu rakyat Jengka yang makan nasi dan gulai dari air tangannya.Dari Kak Odah di Matau yang jadi mangsa banjir sampai lah Pak Hing di Jenderak ,semuanya dah rasa masakan Che Awang.Busu dan Lutfi dah hilang regunya di dapur Masjid Lama.

Ketika musim pilihanraya,Che Awang memikul buluh,memacak bendera bersama anak muda,menjaga poster dan sepanduk dari gangguan lawan.Dia jugalah yang mengusung tiang khemah,memasang,membuka ,melipat.Tak de siapa yang janjikan upah untuknya.Pada Che Awang,upah paling besar yang tidak ternilai harganya hanyalah ganjaran Allah di hari akhirat.

Hari ini khidmat Che Awang sudah berakhir.Dia sudah dijemput Khaliknya untuk pulang untuk menerima ganjaran amal baktinya.Dia tak ke dapur lagi,tak mengusung buluh lagi.

Dari Penulis: Saya kenal Cik Awang ni dari sejak darjah satu, iaitu semenjak bermukim di Jengka.Adik saya sendiri selama lebih 3 tahun menaiki van kuning beliau.Kalau berjumpa di kedai Pak Sedara (Pak Syeikh Nazri), pasti senyuman dan salaman yang didahuluinya.terakhir jumpa dengan beliau adalah ketika solat hari raya aidiladha. Ya Allah, seorang pekerja Agama MU telah kau ambil kembali ke rahmatullah. moga roh beliau berada bersama-sama Hassan Al-Banna, Mustafa Masyhur dan Syed Qutb serta sesiapa saja yang engkau redhai..Semoga keluarga Cik Awang diberikan ketabahan kerana saya juga melihat betapa beliau dan keluarga begitu bersusah payah dalam mencari rezeki. Selepas ini, tidak tahu lagi siapa yang akan membawa van "Bas UiTM" berwarna kuning kepunyaan beliau.......sebak..

No comments: