Sunday, December 28, 2008

Selamat Bersemadi Cik Awang

Assalamualaikum..Pada semua pembaca, marilah kita sama-sama doakan arwah Cik Awang. Walaupun saudara dan saudari tidak mengenali, tapi beliau amat saya kenali di bandar jengka. Al-Fatihah...

Terkejut membaca blog ust aris, Che' Awang atau Jusoh ,54 tahun kembali ke rahmatullah malam tadi ,malam Jumaat dan telah selamat disemadikan pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Bandar Jengka setelah beberapa hari terlantar di rumahnya akibat serangan penyakit dipercayai Cikungunya.

Dalam suasana hidup serba sederhana sebagai pemandu van mengangkut pelajar,beliau telah menghabiskan sisa hidupnya menyumbang bakti untuk perjuangan Islam khususnya di Bandar Jengka.Tanpa jawatan penting di dalam PAS,Allahyarham Che Awang melakuklan tugas penting yang tak ramai orang sanggup lakukan.

Setiap kali jamuan raya,kenduri tahlil diadakan di Masjid Lama yang memerlukan tenaga penting di ceruk dapur ,bahagian penting yang tidak popular,tanpa upah tanpa pujian,Che Awang pastinya ada di situ.Dia akan bertarung dengan asap,dia sudah lali dengan panasnya bara api,dia akan berada seawal mungkin dan pulang seusai program,siap pinggan dibasuh,periuk di tiarap.

Sudah puluhan ribu rakyat Jengka yang makan nasi dan gulai dari air tangannya.Dari Kak Odah di Matau yang jadi mangsa banjir sampai lah Pak Hing di Jenderak ,semuanya dah rasa masakan Che Awang.Busu dan Lutfi dah hilang regunya di dapur Masjid Lama.

Ketika musim pilihanraya,Che Awang memikul buluh,memacak bendera bersama anak muda,menjaga poster dan sepanduk dari gangguan lawan.Dia jugalah yang mengusung tiang khemah,memasang,membuka ,melipat.Tak de siapa yang janjikan upah untuknya.Pada Che Awang,upah paling besar yang tidak ternilai harganya hanyalah ganjaran Allah di hari akhirat.

Hari ini khidmat Che Awang sudah berakhir.Dia sudah dijemput Khaliknya untuk pulang untuk menerima ganjaran amal baktinya.Dia tak ke dapur lagi,tak mengusung buluh lagi.

Dari Penulis: Saya kenal Cik Awang ni dari sejak darjah satu, iaitu semenjak bermukim di Jengka.Adik saya sendiri selama lebih 3 tahun menaiki van kuning beliau.Kalau berjumpa di kedai Pak Sedara (Pak Syeikh Nazri), pasti senyuman dan salaman yang didahuluinya.terakhir jumpa dengan beliau adalah ketika solat hari raya aidiladha. Ya Allah, seorang pekerja Agama MU telah kau ambil kembali ke rahmatullah. moga roh beliau berada bersama-sama Hassan Al-Banna, Mustafa Masyhur dan Syed Qutb serta sesiapa saja yang engkau redhai..Semoga keluarga Cik Awang diberikan ketabahan kerana saya juga melihat betapa beliau dan keluarga begitu bersusah payah dalam mencari rezeki. Selepas ini, tidak tahu lagi siapa yang akan membawa van "Bas UiTM" berwarna kuning kepunyaan beliau.......sebak..

Sunday, December 21, 2008

Kenali Tokoh Perjuangan MPSI: Ibrahim Hj Yaakob (sambungan)

Penglibatan awal

Pendedahan dalam aspek politik dan pengalaman yang diperolehi di MPSI telah membentuk IBHY sebagai seorang Melayu yang mencintai bangsa, agama dan negara. Dalam memastikan perjuangannya dapat dihebahkan kepada umum, IBHY telah memperjuangkan ideologi politiknya melalui penulisan beliau di dalam akhbar Majlis.[1] Penulisan IBHY juga turut tersiar di dalam akhbar-akhbar terkemuka pada ketika itu seperti akhbar Warta Malaya dan Utusan Melayu.[2] Penulisan beliau meliputi aspek kehidupan orang Melayu sama ada dari perspektif ekonomi, pelajaran, cara hidup orang Melayu dan berkaitan dengan bangsa asing serta dasar British di Tanah Melayu. Sebelum tertubuhnya KMM, IBHY telah terlibat sama ada secara langsung atau tidak dengan beberapa pertubuhan. Semasa IBHY menuntut di MPSI, beliau dan rakan-rakanya telah mewujudkan satu persatuan sulit yang “berhaluan sosialis” iaitu Ikatan Semenanjung Malaya/Borneo pada tahun 1929 yang memperjuangkan gagasan “Malaya Raya”.[3]

Gesaan IBHY terhadap masyarakat Melayu supaya menubuhkan Persatuan Kebangsaan Melayu[4] bagi menyatukan orang-orang Melayu untuk menyelamatkan hak kebangsaaan telah memperlihatkan dirinya sebagai pengerak nasionalisme Melayu di Tanah Melayu. Selain itu, penglibatan IBHY di dalam kelab dan pertubuhan sebelum tertubuhnya KMM antaranya meliputi Kelab Melayu Bentung pada tahun 1931-1934,[5] Persatuan Melayu Selangor pada tahun 1938, Persatuan Belia Melayu[6] dan beberapa persatuan yang menjadi medan IBHY menperjuang dan memperkembangkan ideologinya.

Penglibatan IBHY Dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM)

Penglibatan IBHY dalam KMM bermula selepas Persatuan Belia Melayu[7] yang dianggotainya telah mengalami proses tranformasi. Pada peringkat awal Persatuan Belia Melayu hanya terlibat di dalam aktiviti sosial sahaja.[8] Namun, IBHY bersama rakan-rakannya telah menjadikan Persatuan Belia Melayu bermotifkan politik. Selaras dengan perubahan tersebut, nama Persatuan Belia Melayu telah ditukar kepada Kesatuan Melayu Muda (KMM) atau turut dikenali Young Malay Union.[9] Pertukaran nama tersebut menjadikan KMM[10] telah tertubuh secara rasmi pada tahun 1938[11] di Kuala Lumpur sebagai sebuah pertubuhan nasional oleh IBHY dan rakan-rakannya.[12] IBHY telah bertindak sebagai Yang Dipertua KMM dengan dibantu rakan-rakannya seperti Onan Haji Siraj yang bertindak sebagai Naib Yang Dipertua, Abdul Karim Rashid sebagai setiausaha, Haji Othman Abdullah sebagai bendahari, Hassan Manan, Ahmad Boestaman, Isa Muhamad, Ishak Haji Mohammed, Abdul Karim Rashid, Sultan Djenain dan beberapa orang tokoh yang terlibat secara awal dalam KMM.[13] Selain mereka tokoh-tokoh terkemuka pernah menyertai KMM antaranya Dato’ Onn Ja’afar yang menganggotai KMM pada bulan April 1942[14], Dr. Burhanuddin al-Helmi pada tahun 1939[15] dan beberapa orang tokoh yang kemudiannya menjadi pencetus kepada semangat nasionalisme di Tanah Melayu.

Pembentukan KMM menjadikan ia pertubuhan yang bersifat radikal berbanding dengan persatuan yang lain di Tanah Melayu.[16] Anggapan sesetengah pihak mengatakan KMM adalah pertubuhan berhaluan kiri atau radikal telah disangkal sendiri oleh IBHY melalui bukunya bertajuk Musa dan Bangsa Melayu yang ditulis pada tahun 1951.[17] IBHY menjelaskan pertubuhan KMM bukanlah bersifat radikal semata–mata. Hal ini jika dilihat, KMM adalah sebuah persatuan yang berusaha untuk melahirkan kesedaran cintakan agama, bangsa dan negara. Selain itu juga, KMM ditubuhkan adalah bermatlamat untuk memperjuangkan kemerdekaan penuh Tanah Melayu selain daripada antiBritish dan antifeudal.[18] Walau bagaimanapun KMM dilabelkan ia dianggap sebagai permulaan kemunculan gerakan nasionalisme Melayu yang lebih bersifat progresif khususnya melalui pemikiran IBHY.

KMM di bawah pentadbiran IBHY telah menjadi satu medan perjuangan bagi membentuk kuasa rakyat bawahan dalam menentukan nasib orang Melayu. Bagi IBHY, KMM dikhaskan untuk golongan pemuda bawahan.[19] Hal ini bertujuan bagi menunjukkan protes beliau terhadap penguasaan golongan bangsawan dalam kepimpinan politik Melayu seperti Persatuan Melayu Selangor yang dipimpin oleh Tengku Ismail Tengku Muhammad Yasin.[20] Oleh itu, ideologi IBHY melalui KMM secara tidak langsung telah membawa satu anjakan terhadap idea pemikiran baru kepada orang Melayu dengan memberi satu bentuk kepimpinan berasaskan kuasa rakyat untuk rakyat.

Bagi IBHY pembentukan KMM adalah bertujuaan untuk melenyapkan belenggu penjajahan asing dan sebagai gantinya melahirkan suatu Malaya yang bebas.[21] Oleh itu melalui KMM, IBHY telah bertindak selaras dengan cita-cita dan ideologinya semenjak menuntut di MPSI iaitu mengabungkan Tanah Melayu dan Indonesia di bawah satu konsep “Melayu Raya”.[22] Pengabungan ini selaras dengan slogan yang dibawa oleh KMM iaitu “satu untuk semua:semua untuk satu”.[23] Konsep Melayu Raya yang di bawa oleh IBHY adalah bagi memastikan orang-orang Melayu dapat bersatu di bawah satu pertubuhan atau bangsa.


[1] Ibid, hlm. 48.Lihat juga pada tahun 1935, Ibrahim Yaacob menjadi pengarang akhbar Majlis bagi mengantikan Othman Kalam yang berpindah ke Singapura untuk bertugas dengan akhbar Warta Malaya. Akhbar Majlis juga turut bertindak sebagai penyebaran propaganda KMM dalam buku Zakiah Hanum, Tercabarnya Maruah Bangsa, Petaling Jaya: Lajmeidakh Sdn. Bhd, 1987, hlm. 1.

[2] Bachtiar Djamily, Ibrahim Yaacob Pahlawan Nusantara, hlm.187.

[3] Ibid, hlm. 189.

[4] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 323.

[5] Ibid, hlm. 325.

[6] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 2004, hlm.244.

[7] Persatuan yang dianggotai oleh pelajar-pelajar antaranya, Sekolah Teknik Kuala Lumpur yang kemudiannya ditukar kepada Technical College dan pada tahun 1970-an ditukar menjadi Universiti Teknologi Malaysia, Sekolah Pertanian Serdang yang bertukar nama kepada Agriculture College of Serdang dan ditukar kepada Universiti Putera Malaysia untuk keterangan lanjut sila lihat Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm. 52.

[8] Persatuan ini adalah bersifat semipolitik iaitu untuk melahirkan kesedaran poltik di kalangan anggota ahli sahaja dan tidak terlibat secara langsung dalam bidang politik.Lihat juga Ibid, hlm. 52.

[9] Bachtiar Djamily, Ibrahim Yaacob Pahlawan Nusantara, hlm.194.

[10] Nama KMM telah diberikan oleh Sutan Djenain iaitu seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia yang bertindak sebagai penaung KMM. Keterangan lanjut Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm. 52. Lihat juga Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 1998, hlm. 98.

[11] Mohd Isa Othman, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945 Tumpuan di Negeri Kedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm. 7. Lihat juga William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 251.Lihat juga Zulhilmi Ramli & Dalai Abdul Ghani, Kenegaraan Malaysia Isu-isu Dalam Pembinaan Bangsa, Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributoins, 2003, hlm. 121.Lihat juga Kassim Thukiman, Malaysia Perspektif Sejarah dan Politik, Skudai: Universiti Teknologi Malaysia, 2002, hlm.102.Untuk rujukan lihat juga Abdul Karim Abdullah & Ghazali Basri, Latar Belakang & Sejarah Malaysia Moden, Petaling Jaya: Penerbitan Abadi Sdn. Bhd, 2003, hlm. 225.

[12] Menurut Mustapha Hussain, KMM ditubuhkan oleh ‘pemuda-pemuda sedar’ atau ‘progresif’ yang dalam lingkungan usia lewat 20-an dalam rujukan Zulhilmi Ramli & Dalai Abdul Ghani, Kenegaraan Malaysia Isu-isu Dalam Pembinaan Bangsa, hlm. 122.

[13] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 251.

[14] Ramlah Adam, Dato’Onn Ja’afar Pengasas Kemerdekaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, hlm.68.

[15] Abdul Rahman Haji Abdullah, Gerakan Anti Penjajahan di Malaysia 1511-1950 : Pengaruh Agama & Tarikat, Kuala Lumpur : Penerbit Kintan Sdn. Bhd, 1994, hlm. 125

[16] Zulhilmi Ramli & Dalai Abdul Ghani, Kenegaraan Malaysia Isu-isu Dalam Pembinaan Bangsa, hlm.121.Untuk rujukan lihat juga Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya Resistance & Social Conflict During And After The Japanese Occupation, 1941-1946, Singapore: Singapore University Press, 1983, hlm. 11.

[17] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.53.

[18] Abu Bakar Nordin et. All, Aspirasi Kebitaraan, Ibu Kandung Suluh Budiman, hlm.115.

[19] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.54.

[20] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 326.

[21] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 252.

[22] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.54.Lihat juga William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 252. lihat juga Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 327.

[23] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 326.

Sunday, December 7, 2008

Takziah dan Salam Aildiladha


Assalamualaikum w.b.t
Penulis ingin mengucapkan Takziah kepada semua mangsa Tragedi Tanah Runtuh dan Banglo Ranap di Bukit Antarabangsa. Sesungguhnya ada hikmah positif yang boleh di mabil oleh semua pihak sama ada individu, kerajaan mahupun swasta.

Penulis mewakili Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI sesi 08/09 mengucapkan Salam Aildiladha kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang beragama Islam dan tidak lupa kepada semua kakitangan UPSI.

Penulis juga ingin mengucapkan Salam Aildiladha kepada semua yang mengunjungi Blog ini. Semoga semua pengunjung dapat manfaat daripada Aildiladha 1429H ini.

Insyaallah, Majlis Korban di bawah seliaan Pusat Islam UPSI akan diadakan di Kolej Kediaman Proton City pada 10hb Disember 2008 bersamaan 12 Zulhijjah 1429H.

Akmal Bin Madzir
Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah,
MPP UPSI 08/09

Saturday, December 6, 2008

PETISYEN MEMBANTAH PPSMI

To: Kementerian Pelajaran Malaysia

PETISYEN MEMBANTAH PPSMI


Petisyen kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.

PPSMI : Kembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Kami warga Malaysia, yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, amat bimbang terhadap penghakisan kepada peranan Bahasa Melayu, terutama sebagai bahasa ilmu dan pendidikan, yang terus berlaku di Malaysia.

Pada tahun 2003 lalu, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk meminda dasar pendidikan negara dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik di seluruh Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Situasi ini sebenarnya menyebabkan kedudukan bahasa melayu semakin tergugat dan meniti saat-saat untuk lenyap dari tanah air kita sendiri.

Menurut Dasar Pendidikan Kebangsaan 1996, kedaulatan bahasa melayu harus dipertahankan sebagai bahasa teras dalam sistem pendidikan negara. Dasar tersebut dengan jelas menyatakan bahawa “dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama”. Hakikatnya, jika dasar Pendidikan Kebangsaan ini tidak dipelihara, ia akan membebankan guru dan pelajar luar bandar untuk menggunapakai Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Untuk Maklumat Lanjut dan Petisyen Baca di sini

Friday, December 5, 2008

Naib Canselor UPSI Terima Menantu

Tanjung Malim, 5 Dis: Seluruh mahasiswa UPSI mengucapkan tahniah kepada Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Aminah Binti Ayob yang bakal menerima menantu pada 6 Disember 2008. Anakanda Dato’ VC, Elisa Farazana Binti Idris bakal melangsungkan majlis perkahwinan dengan jejaka pilihan hati, Philip Safwan Von Huben di sini.

Dalam pada itu, 4 biro utama dalam MPP UPSI 08/09 sempat menghadiahkan cenderamata buat pasangan mempelai dengan diwakili oleh Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan, Saudara Zulhilmi Mohd Noor. Hadiah disampaikan melalui Setiausaha Dato’ di pejabatnya semalam.

Saudara Zulhilmi ketika menyampaikan cenderamata

Saudara Zulhilmi juga sempat menyampaikan salam kepada Dato’ dan memohon kemaafan kerana tidak dapat hadir bagi memeriahkan lagi majlis perkahwinan yang akan berlangsung esok kerana atas kekangan masa dan keluarga.

Sebelum mengakhiri perjumpaan, saudara Zulhilmi juga sempat mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada kedua-dua mempelai dan tahniah kepada Dato’ VC mewakili 4 biro tersebut iaitu Biro Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan, Biro Akademik dan Penyelidikan serta Biro Kesenian dan Kebudayaan.

Sebagai Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI 08/09, saya mewakili seluruh mahasiswa/I UPSI mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada mempelai dan tahniah kepada Prof. Dato’ Dr. Aminah. Doa kami, semoga pasangan mempelai diberkati dan dirahmati oleh Allah hingga ke akhir hayat. Amin.


Akmal Bin Madzir,

Exco Latihan Dan Pembangunan Sahsiah

MPP UPSI 08/09

Monday, December 1, 2008

Pemergian Seorang Tokoh Pendidikan


Seluruh warga UPSI mengucapkan takziah di atas pemergian Allahyarham Datuk Razali Ismail, mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia dan juga mantan Ahli Parlimen Kuala Terengganu untuk dua penggal.

Beliau pernah menuntut di Universiti Malaya dalam bidang Sejarah. Setelah mengajar beberapa tahun, beliau menyambung pengajian Sarjana Pendidikan di Birmingham, United Kingdom.

Sebelum terlibat dengan dunia politik, beliau adalah Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu.Datuk Razali sememangnya terkenal sebagai seorang tokoh akademik yang progresif dan bermotivasi tinggi.

Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada dunia pendidikan negara.Semoga rohnya dicucuri rahmat.

sumber:mahasiswakini.com

Thursday, November 27, 2008

Ikan oh Ikan...

sumber: kosmo

Perbandingan Harga Ikan antara oktober dan November. Harga minyak makin turun, tapi harga Ikan makin naik. Mungkin disebabkan musim tengkujuh yang bakal mendatang menyebabkan harga ikan melambung naik. tapi apa-apa pun, sebagai rakyat biasa, harga ini amat membebankan. dan ikan adalah makanan yang biasa di makan oleh rakyat biasa seperti saya dan yang lain-lain. Jesteru, pemantauan dari pihak berwajib amat di harapkan dengan secepat yang mungkin sebelum rakyat bertukar selera dari ikan kepada ayam..huh!!!

Wednesday, November 26, 2008

Kenali Tokoh Mujaddid UPSI: Ibrahim Hj Yaakob

Pengenalan

Nama Ibrahim Haji Yaacob (IBHY) memang terkenal dan bukannya nama asing dalam sejarah Tanah Melayu. Ramai yang mengenalinya sebagai seorang tokoh nasionalis yang menjadi pencetus kepada gerakan nasionalisme. Melalui pertubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM), IBHY telah menerapkan nilai perjuangan dan memulakan proses perkembangan nasionalisme Melayu. Pengenalan Konsep Melayu Raya dan tuntutan kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu di bawah Indonesia menjadi asas kepada perjuangan IBHY melalui pertubuhan yang dikendalikannya iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM). Walaupun sesetengah pendapat melabelkan IBHY sebagai golongan radikal yang berhaluan kiri namun jasa dan cetusan idea politik IBHY telah membuka ruang kepada kegiatan nasiolisme Melayu. Hanya penelitian mendalam sahaja yang dapat memberikan jawapan yang lebih relevan dalam menentukan siapa sebenarnya Ibrahim Haji Yaacob.

Latar belakang IBHY

Ibrahim Haji Yaacob (IBHY) atau turut dikenali dengan nama Dr. Iskandar Kamel[1] ialah seorang Melayu berketurunan Bugis, dari daerah Silo, Sulawesi, Indonesia.[2] Beliau dilahirkan pada 27 November 1911, di Kampung Tanjung Kertau, Temerloh, Pahang.[3] Kedua-dua ibu bapanya telah berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu pada sekitar awal abad ke-20. Ayahnya, Haji Yaacob ialah seorang guru agama dan tokoh yang dihormati oleh masyarakat kampungnya manakala ibunya bernama Hawa binti Hussein.[4] Ketika IBHY berusia dua tahun, kedua-dua ibu bapanya bercerai dan beliau telah dijaga oleh ibunya yang hidup secara sederhana. IBHY mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu di Tanjung Kertau pada tahun 1918 ketika berusia tujuh tahun. Pada tahun 1928, beliau telah dipilih menjadi guru pelatih di Pusat Latihan Perguruan di Kuantan, Pahang.[5] Selepas daripada itu pada tahun 1928 hingga 1931, IBHY telah menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) di Tanjong Malim, Perak.[6]

Pendidikan di MPSI secara tidak langsung telah menyemai semangat kebangsaan di dalam diri IBHY. Guru-guru yang mengajar di MPSI sememangnya telah memainkan peranan penting dalam memberikan pendidikan kebangsaan khususnya gerakan yang berlaku di India, Mesir, Indonesia dan Jepun. Antara guru-guru tersebut ialah Abdul Hadi Hassan, Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Nurdin Haji Haron, Harun Mohd Amin (Harun Aminurrashid), Buyong Adil dan Abdul Rahman Hj Muhyidin.[7] Peranan guru-guru di MPSI telah memberi inspirasi kepada IBHY dalam memperjuangkan Konsep Melayu Raya khususnya bagi orang-orang Melayu melalui pertubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Galakkan daripada Harun Mohd Amin selaku guru dan penyelia di kediaman IBHY telah menanamkan semangat kebangsaan di dalam diri IBHY. Selain itu, kegemaran IBHY membaca buku dari pelbagai aspek khususnya buku-buku sastera, sejarah dan hal ehwal semasa telah memberi kelebihan kepada IBHY dalam memahami keadaan semasa.

Pembacaannya tidak terbatas kepada buku-buku sahaja namun akhbar-akhbar khususnya daripada Indonesia turut menjadi bahan bacaanya. Antaranya seperti Persatuan Indonesia, Pewarta Deli, Pertja Selatan, Pedoman Masyarakat, Fikiran Rakyat, Soeloeh Rakyat Indonesia, Semangat Islam, Seruan Azhar, Bintang Timur dan Bintang Hindia.[8] Selain itu, IBHY turut membaca “Sumpah Pemuda” yang menekankan perjuangan untuk mencapai matlamat satu bahasa, satu nusa dan satu bangsa Indonesia.[9] Pengetahuan yang diperolehi melalui pembacaan dan pendedahan perkembangan politik khususnya di Indonesia telah memberi impak ke dalam diri IBHY dalam membina jati diri yang kukuh dan secara tidak langsung menimbulkan perasaan cintakan bangsa dan negara.



[1] Abu Bakar Nordin et. al., Aspirasi Kebitaraan, Ibu Kandung Suluh Budiman, Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris, 2003, hlm.115. Lihat juga gelaran Iskandar Kamel dikenali umum di Indonesia di dalam buku Bachtiar Djamily, Ibrahim Yaacob Pahlawan Nusantara, Kuala Lumpur: Pustaka Budiman Sdn Bhd, 1985, hlm.86.

[2] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka, 2002, hlm. 41.

[3] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, Melaka : Institut Kajian Sejarah & Patriotisme Malaysia, 2003, hlm. 317.

[4] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm. 41.

[5] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm. 42.

[6] Abu Bakar Nordin et. al., Aspirasi Kebitaraan, Ibu Kandung Suluh Budiman, hlm.115.

[7] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 318.

[8] Ibid, hlm. 320.

[9] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.42.

sumber: myhistorian.googlepages.com/ibrahimyakobKMM.doc
akan bersambung...

Tuesday, November 25, 2008

Respon Cadangan Kementerian Pelajaran

Matapelajaran Vokasional (MPV) untuk pelajar-pelajar Sekolah Menengah bermula dari Tingkatan 1.

Tanjung Malim, 25 Nov: Mahasiswa Pendidikan khususnya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut baik saranan dan cadangan oleh Kementerian Pelajaran untuk menjadikan matapelajaran vokasional (MPV) sebagai satu subjek bagi pelajar-pelajar sekolah menengah bermula daripada tingkatan satu seperti ini telah dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Tan Sri Razali Bin Ismail hari ini.

Sebelum ini, matapelajaran vokasional (MPV) hanya dijadikan matapelajaran untuk pelajar-pelajar menengah atas di sekolah-sekolah terpilih. Menyedari kepentingan MPV ini yang bukan hanya sebagai satu subjek biasa tetapi satu nilai tambah untuk pelajar-pelajar, Mahasiswa UPSI memandang perkara ini perlu diambil perhatian dan dipandang serius oleh pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakan perkara ini dalam masa yang terdekat.

Mendokongi hasrat baik Kementerian Pelajaran ini, mahasiswa dalam bidang pendidikan mengharapkan subjek MPV ini dapat melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Sebagai Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar UPSI 08/09, saya memandang usaha ini sebagai satu usaha yang baik dan tepat oleh Kementerian Pelajaran dalam memenuhi tuntutan modal insan yang ingin dilahirkan oleh kerajaaan. Saya berpendapat bahawa dengan adanya kemahiran nilai tambah dalam diri pelajar-pelajar melalui subjek MPV ini, pelajar-pelajar boleh mempunyai pemikiran yang lebih terkehadapan dan dapat berdikari dalam usia yang muda.

Bagi pendapat saya lagi, kita tidak boleh menafikan kemampuan pelajar-pelajar menengah rendah dalam mengasah pemikiran dan bakat mereka, jika kemahiran yang diperoleh daripada subjek MPV ini digunakan secara komprehensif dan menyeluruh.

Akmal Bin Madzir,

Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah

Majlis Perwakilan Pelajar UPSI 08/09

Mana pergi jiwa si Murabbi?

“Mak, saya dapat universiti…Alhamdulillah,dapat kos perubatan…”kata si anak dalam nada gembira. Lalu si mak pun berkata, “Alhamdulillah, bagus anak mak ni. Takpe,duit semua kamu jangan risau, nanti tahulah mak dan ayah carikan untuk kamu” walaupun sebenarnya tergambar kesusahan si ibu dan ayah dalam mencari duit buat si anak…

“Apa cita-cita kamu Ahmad?” tanya Cikgu Syed. “ Cita-cita saya menjadi seorang doktor yang berjaya dunia dan akhirat. “Bagus, jiwa besar dan berani. Cikgu doakan dan harapkan agar cita-cita kamu ini Berjaya dan kamu tidak lupa diri” balas cikgu Syed.

Inilah jiwa murabbi!! Walaupun si Ibu hanya berpendidikan sekolah rendah, namun jiwa Murabbi yang ada dalam dirinya cukup tinggi. Berusaha supaya anaknya lebih baik dari dirinya. Begitu juga dengan seorang guru, dia akan mendidik anak muridnya melebihi apa yang dia ada sama ada dari segi kognitif, afektif mahupun psikomotor. Kita bukan guru silat, yang tidak akan mengajar keseluruhan ilmunya dek takut anak murid akan melawannya suati hari nanti.

Namun apabila melihat laporan Kosmo (link) pada pagi ini, terdetik di hati kita ke mana hilangnya jiwa si Murabbi ini?? Adakah kejiwaan itu hilang ditelan zaman dan juga kemodenan? Semakin cantik dan canggih sekolah yang ada, semakin lapuk jiwa murabbi dalam guru-guru. Jikalau nafsu harta dan kebendaan menjadi perkara yang nak dikejar, jangan jadi guru! Banyak lagi pekerjaan yang lebih baik dalam menjanjikan tuntutan nafsu tersebut. Jika inginkan nama dan kemegahan, jangan jadi guru! Banyak lagi pekerjaan yang boleh kita megahkan dan jika kita inginkan sekadar memenuhi masa lapang dalam kehidupan, sekali lagi saya kata jangan jadi guru!

Profesion ini adalah lebih besar berbanding askar yang menjaga Negara, lebih berat berbanding doktor di wad kecemasan dan lebih professional berbanding Perdana Menteri yang mentadbir Negara. Namun, jika ini sikap kita sebagai guru, saya rasa elok kita mencari pekerjaan lain yang lebih sesuai dan secocok dengan kita dan kehidupan kita (Itu pun kalau ada), kerana profesion ini menuntut seseorang yang berjiwa murabbi…..

*Maaf kalau entry sebelum ini juga menggunakan sentimen keibuan. (Lama tak pulang ke kampung menjenguk ibu).

Wednesday, November 19, 2008

Mak kata dah….


“Mak kata dah, jangan naik tinggi-tinggi, sekarang kan susah dah nak turun!!”kata mak aku time aku kecil-kecil dulu (waktu tu memang kuat memanjat pokok). “Tu la naik tinggi-tinggi lagi, dah jatuh padan muka!”Huh, ni satu lagi ayat pedas dari mak aku. Tapi apa-pun, seorang mak begitu sayangkan anak-anaknya walaupun kadang-kadang time kita panjat pokok, mak kita akan kata, “Hah, naik lagi, biar tinggi sikit lagi,naik…naik…”(ayat sinis dari seorang ibu kepada anaknya yang hensem sekarang ni).

Tapi sebenarnya entry ni bukanlah aku khususkan untuk membincang pembelajaran dan pengajaran psikologi dan pedagogi seorang ibu terhadap anak-anaknya...sebab psikologi dan pedagogi yang terbaik adalah dating dari seorang ibu walaupun ibu itu hanya berpendidikan sekolah rendah. Tapi entry ni, sebenarnya tercetus ketika aku dan housemate aku sama-sama menonton Buletin Utama TV 3: Harga Minyak Turun lagi: RM 2 untuk petrol, RM 1.90 untuk diesel.

Sambil tengok tu, kawan-kawan ada kata: “Huh, masuk ni 5 kali dah minyak turun..Tu lah, naik tinggi-tinggi lagi, sekarang kan susah dah nak turun” (kan sama macam mak aku cakap masa aku kecil dulu). Satu lagi yang aku nak ketawa adalah, “Tu la naik tinggi-tinggi lagi, dah jatuh padan muka(kan sama jugak)”. Tapi apa-apa pun berjaya juga turun walaupun tak cecah tanah lagi (sepatutnya boleh turun lagi) dan dapat luka yang agak parah (duit keluar dengan banyak untuk bayar rebate kepada rakyat).

sumber: Malaysiakini

Em, betul la kata orang, jangan lawan cakap orang tua, mulut diorang masin.kalau diorang kata jangan naik, jangan la naik...dan mungkin sama juga kepada mereka yang menaikkan minyak secara mendadak pada 5hb Jun 2008 iaitu 78 sen dari RM 1.92, “jangan lawan cakap rakyat, mulut rakyat ni masin”

p/s Sayangi ibu anda...

Sunday, November 16, 2008

Penggunaan BI dalam UPSR 2008 belum membanggakan - Kesatuan Guru


KUALA LUMPUR, 15 Nov (Hrkh) - Keputusan UPSR 2008 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini tidak boleh dirumuskan bahawa murid-murid sudah boleh menerima Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana jurang perbezaan mereka di luar bandar dengan bandar masih besar, demikian menurut Presiden Kesatuan Guru-guru Semenanjung Malaysia Mohd Sabri Mohd Arshad.

Katanya, sebanyak 31.1 peratus murid-murid yang menguasai pembelajaran itu khususnya subjek sains ataupun matematik adalah dari kalangan mereka yang tinggal di bandar dan mempunyai latar belakang keluarga berpendidikan.

"Mereka yang tinggal di luar bandar masih lagi menggunakan bahasa ibunda, Melayu atau Inggeris, ini memberi kesan kepada jurang perbezaan yang jauh," katanya ketika dihubungi.

Beliau juga yakin, peratusan murid yang menggunakan Bahasa Inggeris masih lagi tahap yang rendah bagaimanapun keputusan itu disambut baik.

Dalam melaksanakan PPSMI, beliau menggesa kerajaan memperkasakan Bahasa Inggeris itu sendiri dengan menambahkan waktu pembelajaran selaras dengan subjek bahasa lain.

"Sekarang ini pembelajaran BI untuk darjah satu hingga tiga hanya lapan waktu sahaja manakala empat hingga enam ada tujuh waktu sahaja, kelas ini perlu diperbanyakkan dan sukatan pula diperluaskan seperti mewujudkan kelas komunikasi dalam BI dan juga bahasa-bahasa lain termasuklah Bahasa Arab," katanya.

Sabri juga melahirkan kebimbangan kerana guru-guru yang ada tidak diberi intensif untuk memantapkan Bahasa Inggeri mereka sedangkan ramai di kalangan mereka tidak boleh menguasai bahasa itu.

"Guru-guru ini ada kemahiran tinggi dalam matematik dan sains tetapi mereka kurang menguasai Bahasa Inggeris, menyebabkan terpaksa mengajar dalam dua bahasa sekali gus ia membuang masa," katanya.

Menurut kerajaan, UPSR kali ini membuktikan pelaksanaan PPSMI sejak 2003 tidak menjejaskan prestasi murid, walaupun jumlah murid yang memperoleh 5A menurun tetapi murid mendapat 4A meningkat manakala calon gagal berkurangan.

(sumber: www.harakahdaily.net)


Tuesday, November 11, 2008

Bedah Buku:Ketika Cinta Bertasbih

Semua mahasiswa mahasiswi di jemput hadir

Monday, November 10, 2008

Respon: Berita TV 3

Tayangan Video Kematian kepada Para Pelajar Berumur 7-8 tahun

Pada 8 November 2008, Berita Utama TV 3 telah menyiarkan berita mengenai Tayangan Video Kematian kepada Para Pelajar 7-8 tahun dan telah mendapat respon dari pelbagai pihak pada keesokkannya ( 9 November 2008). Ada pihak yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju dengan kaedah yang telah dibuat oleh guru terbabit. Masing-masing saling memberikan sebab dan alasan yang munasabah kenapa mereka memberikan pendapat sedemikian. Dan saya tidak mahu mengulas pendapat di kedua-dua belah pihak.

Sebagai mahasiswa dalam bidang pendidikan, secara peribadi saya merasakan bahawa kaedah yang digunakan adalah kurang bersesuaian kerana kognitif pelajar pada peringkat 7-8 tahun adalah masih di tahap rendah dan tidak boleh lagi menerima kaedah tersebut dengan baik. Dan bagi pendapat saya lagi, kaedah tersebut hanyalah bersesesuaian untuk golongan remaja yang berumur 14-18 tahun kerana kognitif pelajar pada waktu itu adalah bersesuaian dengan kaedah tersebut.

Namun demikian, saya tidak memandang usaha yang dibuat oleh guru tersebut sebagai satu usaha yang remeh kerana seorang guru sebenarnya sentiasa berfikir kaedah yang terbaik dalam mendidik anak didik mereka untuk menjadi insan yang berguna. Usaha yang dilakukan oleh guru tersebut amat saya hargai dan boleh menjadi salah satu bahan pengajaran dan pembelajaran untuk saya gunakan kelak.

Akmal Bin Madzir
Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah
MPP UPSI 08/09

Sunday, November 9, 2008

Al-Fatihah:Imam Samudera, Amrozi dan Mukhlas


Assalamualaikum.
Kami warga UPSI mengucapkan tahniah kepada ahli keluarga Imam Samudera, Amrozi dan Mukhlas yang telah dihukum mati dengan cara yang kejam (ditembak) dan mereka telah dikebumikan di kampung halaman masing-masing pada pagi tadi.Semoga roh syahid mengalir disegenap pelusuk dunia yang fana ini.Al-Fatihah...
Maklumat lanjut boleh layari laman blog sahabat saya, http://arruhuljadid86.blogspot.com
Kaji isu,kita jangan mudah menyalahkan seseorang tanpa menyiasat

Wednesday, November 5, 2008

Obama dan Revolusi (change)

"CHANGE WE NEED"

Keputusan terkini (3 ptg waktu Malaysia), Barack Obama sudah mendapat 338 undi pemilih untuk menewaskan John Mccain yang mendapat 144 undi. Dengan keputusan ini Obama mengesahkan bakal menjadi pengganti George W. Bush sebagai presiden baru Amerika Syarikat yang ke-44.

Manakala dari segi undi popular, Obama mendapat sebanyak 55, 580, 166 atau 52 % dan Mccain 50, 759, 228 (47%). Dengan perkiraan mudah, calon yang mendapat 270 undi sudah boleh diisytiharkan sebagai pemenang.

Sebelum pilihan raya ini berlangsung, Obama sudah dikenali dengan slogan perubahan iaitu "CHANGE, WE CAN BELIEVE IN' dan terakhir 'CHANGE, WE NEED'. Setelah pengisytiharan kemenangan Obama, rakyat Amerika Syarikat mengharapkan perubahan berlaku dalam negara mereka.

Berikut kenyataan Obama selepas mencapai kemenangan di hadapan kira-kira 240,000 penyokong beliau, " Ia satu perjalanan yang jauh. Tapi malam ini, tiba harinya dalam pilihan raya saat yang bermakna, perubahan sudah tiba di Amerika".

" Saya tidak pernah bayangkan untuk ke Rumah Putih (White House). kami tidak bermula dengan banyak wang dan cadangan". " Kempen kami tidak bermula di Washington, ia bermula di lorong belakang di Mes Moines, bilik tetamu Charleston".sumber (http://minda-mahasiswa.blogspot.com/)

Debat: Anwar dan Najib?



Kita tidak dapat nafikan di mana Dato Seri Najib Tun Razak merupakan Menteri Kewangan Pertama Malaysia pada waktu kini. Kita juga tidak boleh menafikan bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim juga merupakan Mantan Menteri Kewangan Malaysia di bawah pemerintahan Tun Dr. Mahathir (Bapa Pemodenan). Dan jika diikutkan, Anwar dan Najib,kedua-duanya mempunyai pengalaman yang sama iaitu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Jika dihitung pengalaman pula, Anwar sebenarnya lebih lama dan berpengalaman dalam menjawat dua jawatan tersebut.

Apabila timbul isu tentang bajet 2009, kedua-dua pihak menyatakan respon yang berbeza. Sebagai rakyat marhain yang menilai, saya melihat bahawa kedua-duanya mesti mempunyai ‘reason’ tertentu mengapa mereka berpendirian bahawa bajet mereka adalah ‘bajet rakyat’. Dan media tidak sepatutnya mendapatkan penjelasan dari sebelah pihak sahaja kerana sebagai media yang professional, mengapa tidak media mendapatkan penjelasan yang terang lagi jelas dari kedua-dua belah pihak.

Saya mewakili rakyat marhain dan juga mahasiswa yang berpendidikan, mengharapkan agar media boleh menyiarkan forum antara Dato Seri Najib Tun Razak dan Dato Seri Anwar Ibrahim supaya kedua-dua mereka dapat memberikan penjelasan kepada rakyat mengapa mereka berpendirian sedemikian dalam menyatakan bajet 2009 yang dibentang oleh Najib dan Bajet alternatif yang dibentang oleh Anwar supaya kami di peringkat rakyat boleh menilai kedua-dua bajet dengan telus dan baik.

"Media Profesional, Maklumat Berinformasi"

Rakyat Marhain

Good Luck in Your Exam...

Tuesday, November 4, 2008

Kelahiran Baru


Assalamualaikum kepada semua.

Menyedari zaman global yang begitu pesat, tidak dapat dinafikan bahawa blog adalah salah satu medium yang menjadi medan untuk mendapatkan dan menyebarkan maklumat serta pengetahuan.

Menyedari hakikat itu, http://ibnumadzir.blogspot.com lahir untuk memenuhi tuntutan tersebut. Semoga blog ini menjadi medan perhubungan yang baik buat saya dan semua pembaca.


Sekian,terima kasih.

Akmal Bin Madzir