Monday, March 23, 2009

Kenyataan Bantahan PPSMI

KENYATAAN BANTAHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (MPP UPSI) 08/09 TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI).

Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI 08/09 membantah perlaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Malaysia yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

MPP UPSI melihat bahawa perlaksanaan PPSMI menyebabkan jurang pendidikan dan pencapaian pelajar-pelajar terhadap mata pelajaran sains, matematik dan bahasa inggeris antara sekolah-sekolah di Bandar dan luar Bandar semakin jauh. Hal ini menyebabkan pelajar-pelajar di Bandar lebih terkehadapan berbanding pelajar-pelajar luar Bandar yang semakin ketinggalan jika PPSMI ini diteruskan pada masa-masa akan datang. Perkara ini telah disahkan oleh kajian ahli akademik termasuk Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Pengarah Institut Peradaban Melayu UPSI.

MPP UPSI mengakui bahawa bahasa inggeris adalah bahasa antarabangsa dan amat diperlukan pada masa kini. Namun kami berpendapat bahawa PPSMI bukanlah satu penyelesaian yang terbaik dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar-pelajar. Bagi kami, cara yang terbaik adalah meningkatkan lagi penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran bahasa inggeris itu sendiri kerana terbukti PPSMI gagal dalam membantu pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah menguasai bahasa antarabangsa tersebut.

MPP UPSI juga menolak dakwaan kami terpengaruh dan menjadi agen kuasa politik luar. Bagi kami sebagai mahasiswa pengkhususan bidang pendidikan, kami melihat bahawa bahasa pengantar yang terbaik bagi mata pelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah mestilah ditukar semula ke dalam bahasa melayu. Kami juga menolek dakwaan bahawa PPSMI ini mendatangkan keburukan secara total, kerana bagi kami PPSMI ada kebaikan cuma ia lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan.

MPP UPSI menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama membantah PPSMI ini atas dasar kesedaran yang jelas dan bukannya atas dasar kepartian dan kuasa yang sempit. Akhir sekali, MPP UPSI ingin menegaskan sekali lagi, kami sebagai mahasiswa pendidikan memohon kepada Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula dan seterusnya melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu (PPSMM).

Akmal Bin Madzir

Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI 08/09

Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Negara (MPMN)

http://ibnumadzir.blogspot.com

23 Mac 2009.

No comments: