Friday, June 19, 2009

Kerajaan benarkan 338 bekas komunis pulang: Apa pendirian kerajaan sebenarnya?

Saya tidak pasti apakah pendirian kerajaan sebenarnya dalam hal ini. Jika sebelum ini, kecoh dikhabarkan bahawa Chin Peng tidak dibenarkan pulang ke Malaysia kerana beliau adalah ahli Parti Komunis Malaya (PKM). Kemudian, kecoh pula Anwar Ibrahim mengatakan bahawa Chin Peng boleh dibawa pulang kerana kerajaan dan PKM telah pun membuat perjanjian damai serta ramai juga tokoh PKM yang dibawa pulang ke Malaysia seperti Samsiah Fakeh. Dalam hal ini juga, ramai bekas tentera yang menyatakan bantahan tentang kepulangan Chin Peng kerana beliau merupakan musuh Negara (termasuk pemimpin-pemimpin korup yang makan duit rakyat). Sewajarnya beliau menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahannya dan sekiranya sudah setimpal, wajarlah dibawa pulang ke Negara asal, tempat dimana bumi dipijak. Pendapat saya ini, saya perkuatkan dengan kewajaran banduan yang melakukan kesalahan, akan menerima hukuman dan setelah itu banduan akan menjadi bekas banduan dan kembali kepada masyarakat. Namun begitu, tiada penjelasan jelas dari pihak kerajaan berkenaan isu ini. Nah, takkan Chin Peng yang seorang beriya-iya tak dibenarkan pulang sehingga kenyataan media heboh sana sini, 338 bekas komunis ini pula yang dibawa pulang ke tanah air kita. Apa-apa pun, sayangi Negara kita kerana cintai Negara adalah sebahagian daripada Iman.

Kenyataan daripada Menteri Dalam Negeri:


Kerajaan benarkan 338 bekas komunis pulang


KUALA LUMPUR - Kerajaan telah meluluskan permohonan 338 bekas anggota komunis untuk pulang ke Malaysia sepanjang tempoh tawaran sekali sahaja di bawah perjanjian untuk menghentikan peperangan di antara kerajaan dan Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditandatangani pada 2 Disember 1989.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, permohonan mereka diluluskan selepas menjalani proses yang dikehendaki serta mematuhi syarat-syarat ditetapkan dalam perjanjian.

“Sepanjang tempoh tawaran tersebut, seramai 431 bekas anggota komunis memohon untuk pulang. Daripada jumlah itu, 338 permohonan diluluskan dan 93 ditolak atas pelbagai sebab seperti gagal mematuhi syarat-syarat dalam perjanjian dan masalah daripada segi status kewarganegaraan.

“Daripada jumlah ini, terdapat juga permohonan yang ditarik balik atas kehendak pemohon sendiri,” katanya melalui jawapan bertulis terhadap soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Teresa meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan nama bekas anggota komunis yang dibenarkan balik ke Malaysia dan nama yang ditolak untuk pulang.

Beliau juga ingin tahu kriteria yang ditetapkan kementerian bagi membenarkan atau menolak bekas anggota komunis untuk pulang ke negara ini.

Hishammuddin berkata, menurut perjanjian antara kerajaan dan PKM, mana-mana bekas ahli PKM yang ingin kembali ke Malaysia perlu mematuhi beberapa syarat termasuk memaklumkan hasrat untuk pulang kepada pihak berkuasa dalam tempoh tidak lebih setahun dari tarikh perjanjian ditandatangani dan menjalani proses temuduga serta dokumentasi.

“Dengan pilihan tersebut, ternyata tidak semua bekas anggota komunis menerima tawaran untuk pulang ke Malaysia, malah ramai yang memilih untuk terus tinggal di Selatan Thailand,” katanya.

Hishammuddin berkata kekejaman yang dilakukan anggota komunis menyebabkan ramai rakyat dan anggota keselamatan yang terkorban dan ia memberikan kesan mendalam kepada rakyat.

“Demi mengelakkan kejadian yang mengancam keselamatan negara serta bekas anggota komunis, maka nama-nama mereka yang dibenarkan pulang tidak akan didedahkan.

“Di atas faktor yang sama proses kepulangan mereka juga tidak akan diberikan sebarang publisiti,” katanya.

Sinar Harian: http://www.sinarharian.com.my/com/content/story2875461.asp

1 comment:

sepohonkayu said...

dengar citer Chin Peng nak balik ke Malaysia dan mati di sini...

natijahnya, pengikutnya akan buat memorial tugu peringatan untuk dia... sedikit sebanyak x sedap didengar dan akan mencemarkan nama Malaysia...

maklum la... pengkhianat negara seakan dilayan dengan baik...?

***