Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T, saya dan keluarga bersama rombongan dari Pahang telah dipilih untuk menjadi tetamu Allah di bumi barakah Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah. Berada di tanah haram selama lebih 10 hari amat mengembirakan apatah lagi dipilih oleh Allah dalam diri yang masih muda. Memang benar, bukan mudah untuk menjadi dan dipilih oleh Allah untuk menjadi tetamu Nya. Jika kita pergi kerana kita berduit, ramai yang berduit tetapi tidak dipilih. Jika kita pergi kerana sihat dan kuat, ramai lagi yang sihat dan kuat tidak dipilih, malah ramai yang sakit juga berada di sana. Dan jika kerana kita pergi kerana kita muda, ramai lagi pemuda yang tak dipilih oleh Allah dan ramai juga orang-orang tua yang ada di sana. Jelas jika kita renung dan ambil iktibar, tidak lain dan tidak bukan untuk ke sana adalah benar-benar yang dipilih oleh Allah. Dialah yang beri kita kewangan, kekuatan dan kemampuan.
Berada di madinah, bumi di mana tempat Rasulullah dan sahabat-sahabat bertungkus lumus mengembangkan Islam. Berkesempatan bersolat di Masjid Nabawi amat mengembirakan dan memilukan. Pertama kali sujud di dalam masjid, tidak apa yang dapat ditahan melainkan rasa syukur dan titisan air mata. Di kesempatan di masjid nabawi juga, kami menziarahi makam Nabi, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Dan Alhamdulillah berkesempatan bersolat di raudhah . perkuburan baqi’ dan masjid quba antara tempat yang diziarahi. Namun begitu, tempat yang paling menyentuh perasaan apabila dibawa ke perkuburan perang uhud di jabal uhud. Di sinilah makam Saidina Hamzah, Mus’ab bin Umair di tempatkan. Mendengar kisah perjuangan mereka, nampak terlalu jauh dengan perjuangan yang kita curahkan buat islam. Walaupun begitu, doa dan roh semangat perjuangan mereka tetap kita perlukan dalam menderap tenaga, harta dan nyawa untuk Islam.
Setelah lebih kurang 4 hari di Madinah, kami ke mekah untuk menunaikan umrah. Bermiqat di bir ali dan berpakaian ihram cukup menginsafkan. Berpakaian putih, tiada jahitan, tiada wangian. Selama lebih kurang 5 jam perjalanan, kami tiba di masjidil haram untuk menunaikan umrah. Nah, sekali lagi air mata tak tertahan. Kaabah betul-betul berada di depan mata. Alhamdulillah... Di mekkah, kesempatan untuk menziarahi jabal tsur, jabal rahmah dan jabal hira’ cukup memberikan peringatan dan kesan yang mendalam. Huh, begitu tinggi pengorbanan Nabi dan sahabat-sahabat dalam menegakkan agama Allah untuk ummat baginda. Melihat tingginya kedudukan Gua Hira’, tempat baginda menerima wahyu pertama cukup mengharukan apatah lagi dengan cuaca yang mencecah 45 darjah. Tapi masih ada lagi yang menafikan Al-Quran dari sudut hukumnya dan saya kira orang yang menolak al-Quran itu semestinya orang yang tidak pernah melihat dan merasai susahnya Nabi menerima wahyu dan menyampaikannya pada ummat. Melawat padang arafah yang cukup-cukup luas amat menginsafkan dan dikhabarkan di situlah ummat manusia akan dikumpulkan kelak. Kesempatan bersolat di masjidil haram juga tidak dilepaskan. bertawaf serta ber saie dapat mendidik jiwa dalam mengajar erti pengorbanan. Apa-apa pun, doa kita supaya kita semua dipilih oleh Nya untuk menjadi tetamu Nya pada bila-bila masa, serta menjadi hamba Nya yang taat, Amin ya Rabbal Alamin.
No comments:
Post a Comment