Sunday, December 28, 2008

Selamat Bersemadi Cik Awang

Assalamualaikum..Pada semua pembaca, marilah kita sama-sama doakan arwah Cik Awang. Walaupun saudara dan saudari tidak mengenali, tapi beliau amat saya kenali di bandar jengka. Al-Fatihah...

Terkejut membaca blog ust aris, Che' Awang atau Jusoh ,54 tahun kembali ke rahmatullah malam tadi ,malam Jumaat dan telah selamat disemadikan pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Bandar Jengka setelah beberapa hari terlantar di rumahnya akibat serangan penyakit dipercayai Cikungunya.

Dalam suasana hidup serba sederhana sebagai pemandu van mengangkut pelajar,beliau telah menghabiskan sisa hidupnya menyumbang bakti untuk perjuangan Islam khususnya di Bandar Jengka.Tanpa jawatan penting di dalam PAS,Allahyarham Che Awang melakuklan tugas penting yang tak ramai orang sanggup lakukan.

Setiap kali jamuan raya,kenduri tahlil diadakan di Masjid Lama yang memerlukan tenaga penting di ceruk dapur ,bahagian penting yang tidak popular,tanpa upah tanpa pujian,Che Awang pastinya ada di situ.Dia akan bertarung dengan asap,dia sudah lali dengan panasnya bara api,dia akan berada seawal mungkin dan pulang seusai program,siap pinggan dibasuh,periuk di tiarap.

Sudah puluhan ribu rakyat Jengka yang makan nasi dan gulai dari air tangannya.Dari Kak Odah di Matau yang jadi mangsa banjir sampai lah Pak Hing di Jenderak ,semuanya dah rasa masakan Che Awang.Busu dan Lutfi dah hilang regunya di dapur Masjid Lama.

Ketika musim pilihanraya,Che Awang memikul buluh,memacak bendera bersama anak muda,menjaga poster dan sepanduk dari gangguan lawan.Dia jugalah yang mengusung tiang khemah,memasang,membuka ,melipat.Tak de siapa yang janjikan upah untuknya.Pada Che Awang,upah paling besar yang tidak ternilai harganya hanyalah ganjaran Allah di hari akhirat.

Hari ini khidmat Che Awang sudah berakhir.Dia sudah dijemput Khaliknya untuk pulang untuk menerima ganjaran amal baktinya.Dia tak ke dapur lagi,tak mengusung buluh lagi.

Dari Penulis: Saya kenal Cik Awang ni dari sejak darjah satu, iaitu semenjak bermukim di Jengka.Adik saya sendiri selama lebih 3 tahun menaiki van kuning beliau.Kalau berjumpa di kedai Pak Sedara (Pak Syeikh Nazri), pasti senyuman dan salaman yang didahuluinya.terakhir jumpa dengan beliau adalah ketika solat hari raya aidiladha. Ya Allah, seorang pekerja Agama MU telah kau ambil kembali ke rahmatullah. moga roh beliau berada bersama-sama Hassan Al-Banna, Mustafa Masyhur dan Syed Qutb serta sesiapa saja yang engkau redhai..Semoga keluarga Cik Awang diberikan ketabahan kerana saya juga melihat betapa beliau dan keluarga begitu bersusah payah dalam mencari rezeki. Selepas ini, tidak tahu lagi siapa yang akan membawa van "Bas UiTM" berwarna kuning kepunyaan beliau.......sebak..

Sunday, December 21, 2008

Kenali Tokoh Perjuangan MPSI: Ibrahim Hj Yaakob (sambungan)

Penglibatan awal

Pendedahan dalam aspek politik dan pengalaman yang diperolehi di MPSI telah membentuk IBHY sebagai seorang Melayu yang mencintai bangsa, agama dan negara. Dalam memastikan perjuangannya dapat dihebahkan kepada umum, IBHY telah memperjuangkan ideologi politiknya melalui penulisan beliau di dalam akhbar Majlis.[1] Penulisan IBHY juga turut tersiar di dalam akhbar-akhbar terkemuka pada ketika itu seperti akhbar Warta Malaya dan Utusan Melayu.[2] Penulisan beliau meliputi aspek kehidupan orang Melayu sama ada dari perspektif ekonomi, pelajaran, cara hidup orang Melayu dan berkaitan dengan bangsa asing serta dasar British di Tanah Melayu. Sebelum tertubuhnya KMM, IBHY telah terlibat sama ada secara langsung atau tidak dengan beberapa pertubuhan. Semasa IBHY menuntut di MPSI, beliau dan rakan-rakanya telah mewujudkan satu persatuan sulit yang “berhaluan sosialis” iaitu Ikatan Semenanjung Malaya/Borneo pada tahun 1929 yang memperjuangkan gagasan “Malaya Raya”.[3]

Gesaan IBHY terhadap masyarakat Melayu supaya menubuhkan Persatuan Kebangsaan Melayu[4] bagi menyatukan orang-orang Melayu untuk menyelamatkan hak kebangsaaan telah memperlihatkan dirinya sebagai pengerak nasionalisme Melayu di Tanah Melayu. Selain itu, penglibatan IBHY di dalam kelab dan pertubuhan sebelum tertubuhnya KMM antaranya meliputi Kelab Melayu Bentung pada tahun 1931-1934,[5] Persatuan Melayu Selangor pada tahun 1938, Persatuan Belia Melayu[6] dan beberapa persatuan yang menjadi medan IBHY menperjuang dan memperkembangkan ideologinya.

Penglibatan IBHY Dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM)

Penglibatan IBHY dalam KMM bermula selepas Persatuan Belia Melayu[7] yang dianggotainya telah mengalami proses tranformasi. Pada peringkat awal Persatuan Belia Melayu hanya terlibat di dalam aktiviti sosial sahaja.[8] Namun, IBHY bersama rakan-rakannya telah menjadikan Persatuan Belia Melayu bermotifkan politik. Selaras dengan perubahan tersebut, nama Persatuan Belia Melayu telah ditukar kepada Kesatuan Melayu Muda (KMM) atau turut dikenali Young Malay Union.[9] Pertukaran nama tersebut menjadikan KMM[10] telah tertubuh secara rasmi pada tahun 1938[11] di Kuala Lumpur sebagai sebuah pertubuhan nasional oleh IBHY dan rakan-rakannya.[12] IBHY telah bertindak sebagai Yang Dipertua KMM dengan dibantu rakan-rakannya seperti Onan Haji Siraj yang bertindak sebagai Naib Yang Dipertua, Abdul Karim Rashid sebagai setiausaha, Haji Othman Abdullah sebagai bendahari, Hassan Manan, Ahmad Boestaman, Isa Muhamad, Ishak Haji Mohammed, Abdul Karim Rashid, Sultan Djenain dan beberapa orang tokoh yang terlibat secara awal dalam KMM.[13] Selain mereka tokoh-tokoh terkemuka pernah menyertai KMM antaranya Dato’ Onn Ja’afar yang menganggotai KMM pada bulan April 1942[14], Dr. Burhanuddin al-Helmi pada tahun 1939[15] dan beberapa orang tokoh yang kemudiannya menjadi pencetus kepada semangat nasionalisme di Tanah Melayu.

Pembentukan KMM menjadikan ia pertubuhan yang bersifat radikal berbanding dengan persatuan yang lain di Tanah Melayu.[16] Anggapan sesetengah pihak mengatakan KMM adalah pertubuhan berhaluan kiri atau radikal telah disangkal sendiri oleh IBHY melalui bukunya bertajuk Musa dan Bangsa Melayu yang ditulis pada tahun 1951.[17] IBHY menjelaskan pertubuhan KMM bukanlah bersifat radikal semata–mata. Hal ini jika dilihat, KMM adalah sebuah persatuan yang berusaha untuk melahirkan kesedaran cintakan agama, bangsa dan negara. Selain itu juga, KMM ditubuhkan adalah bermatlamat untuk memperjuangkan kemerdekaan penuh Tanah Melayu selain daripada antiBritish dan antifeudal.[18] Walau bagaimanapun KMM dilabelkan ia dianggap sebagai permulaan kemunculan gerakan nasionalisme Melayu yang lebih bersifat progresif khususnya melalui pemikiran IBHY.

KMM di bawah pentadbiran IBHY telah menjadi satu medan perjuangan bagi membentuk kuasa rakyat bawahan dalam menentukan nasib orang Melayu. Bagi IBHY, KMM dikhaskan untuk golongan pemuda bawahan.[19] Hal ini bertujuan bagi menunjukkan protes beliau terhadap penguasaan golongan bangsawan dalam kepimpinan politik Melayu seperti Persatuan Melayu Selangor yang dipimpin oleh Tengku Ismail Tengku Muhammad Yasin.[20] Oleh itu, ideologi IBHY melalui KMM secara tidak langsung telah membawa satu anjakan terhadap idea pemikiran baru kepada orang Melayu dengan memberi satu bentuk kepimpinan berasaskan kuasa rakyat untuk rakyat.

Bagi IBHY pembentukan KMM adalah bertujuaan untuk melenyapkan belenggu penjajahan asing dan sebagai gantinya melahirkan suatu Malaya yang bebas.[21] Oleh itu melalui KMM, IBHY telah bertindak selaras dengan cita-cita dan ideologinya semenjak menuntut di MPSI iaitu mengabungkan Tanah Melayu dan Indonesia di bawah satu konsep “Melayu Raya”.[22] Pengabungan ini selaras dengan slogan yang dibawa oleh KMM iaitu “satu untuk semua:semua untuk satu”.[23] Konsep Melayu Raya yang di bawa oleh IBHY adalah bagi memastikan orang-orang Melayu dapat bersatu di bawah satu pertubuhan atau bangsa.


[1] Ibid, hlm. 48.Lihat juga pada tahun 1935, Ibrahim Yaacob menjadi pengarang akhbar Majlis bagi mengantikan Othman Kalam yang berpindah ke Singapura untuk bertugas dengan akhbar Warta Malaya. Akhbar Majlis juga turut bertindak sebagai penyebaran propaganda KMM dalam buku Zakiah Hanum, Tercabarnya Maruah Bangsa, Petaling Jaya: Lajmeidakh Sdn. Bhd, 1987, hlm. 1.

[2] Bachtiar Djamily, Ibrahim Yaacob Pahlawan Nusantara, hlm.187.

[3] Ibid, hlm. 189.

[4] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 323.

[5] Ibid, hlm. 325.

[6] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 2004, hlm.244.

[7] Persatuan yang dianggotai oleh pelajar-pelajar antaranya, Sekolah Teknik Kuala Lumpur yang kemudiannya ditukar kepada Technical College dan pada tahun 1970-an ditukar menjadi Universiti Teknologi Malaysia, Sekolah Pertanian Serdang yang bertukar nama kepada Agriculture College of Serdang dan ditukar kepada Universiti Putera Malaysia untuk keterangan lanjut sila lihat Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm. 52.

[8] Persatuan ini adalah bersifat semipolitik iaitu untuk melahirkan kesedaran poltik di kalangan anggota ahli sahaja dan tidak terlibat secara langsung dalam bidang politik.Lihat juga Ibid, hlm. 52.

[9] Bachtiar Djamily, Ibrahim Yaacob Pahlawan Nusantara, hlm.194.

[10] Nama KMM telah diberikan oleh Sutan Djenain iaitu seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia yang bertindak sebagai penaung KMM. Keterangan lanjut Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm. 52. Lihat juga Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 1998, hlm. 98.

[11] Mohd Isa Othman, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945 Tumpuan di Negeri Kedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm. 7. Lihat juga William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 251.Lihat juga Zulhilmi Ramli & Dalai Abdul Ghani, Kenegaraan Malaysia Isu-isu Dalam Pembinaan Bangsa, Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributoins, 2003, hlm. 121.Lihat juga Kassim Thukiman, Malaysia Perspektif Sejarah dan Politik, Skudai: Universiti Teknologi Malaysia, 2002, hlm.102.Untuk rujukan lihat juga Abdul Karim Abdullah & Ghazali Basri, Latar Belakang & Sejarah Malaysia Moden, Petaling Jaya: Penerbitan Abadi Sdn. Bhd, 2003, hlm. 225.

[12] Menurut Mustapha Hussain, KMM ditubuhkan oleh ‘pemuda-pemuda sedar’ atau ‘progresif’ yang dalam lingkungan usia lewat 20-an dalam rujukan Zulhilmi Ramli & Dalai Abdul Ghani, Kenegaraan Malaysia Isu-isu Dalam Pembinaan Bangsa, hlm. 122.

[13] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 251.

[14] Ramlah Adam, Dato’Onn Ja’afar Pengasas Kemerdekaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, hlm.68.

[15] Abdul Rahman Haji Abdullah, Gerakan Anti Penjajahan di Malaysia 1511-1950 : Pengaruh Agama & Tarikat, Kuala Lumpur : Penerbit Kintan Sdn. Bhd, 1994, hlm. 125

[16] Zulhilmi Ramli & Dalai Abdul Ghani, Kenegaraan Malaysia Isu-isu Dalam Pembinaan Bangsa, hlm.121.Untuk rujukan lihat juga Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya Resistance & Social Conflict During And After The Japanese Occupation, 1941-1946, Singapore: Singapore University Press, 1983, hlm. 11.

[17] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.53.

[18] Abu Bakar Nordin et. All, Aspirasi Kebitaraan, Ibu Kandung Suluh Budiman, hlm.115.

[19] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.54.

[20] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 326.

[21] William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 252.

[22] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.54.Lihat juga William R. Roff, Nasionalisme Melayu, Terj. Ahmad Boestaman, hlm. 252. lihat juga Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 327.

[23] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 326.

Sunday, December 7, 2008

Takziah dan Salam Aildiladha


Assalamualaikum w.b.t
Penulis ingin mengucapkan Takziah kepada semua mangsa Tragedi Tanah Runtuh dan Banglo Ranap di Bukit Antarabangsa. Sesungguhnya ada hikmah positif yang boleh di mabil oleh semua pihak sama ada individu, kerajaan mahupun swasta.

Penulis mewakili Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI sesi 08/09 mengucapkan Salam Aildiladha kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang beragama Islam dan tidak lupa kepada semua kakitangan UPSI.

Penulis juga ingin mengucapkan Salam Aildiladha kepada semua yang mengunjungi Blog ini. Semoga semua pengunjung dapat manfaat daripada Aildiladha 1429H ini.

Insyaallah, Majlis Korban di bawah seliaan Pusat Islam UPSI akan diadakan di Kolej Kediaman Proton City pada 10hb Disember 2008 bersamaan 12 Zulhijjah 1429H.

Akmal Bin Madzir
Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah,
MPP UPSI 08/09

Saturday, December 6, 2008

PETISYEN MEMBANTAH PPSMI

To: Kementerian Pelajaran Malaysia

PETISYEN MEMBANTAH PPSMI


Petisyen kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.

PPSMI : Kembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Kami warga Malaysia, yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, amat bimbang terhadap penghakisan kepada peranan Bahasa Melayu, terutama sebagai bahasa ilmu dan pendidikan, yang terus berlaku di Malaysia.

Pada tahun 2003 lalu, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk meminda dasar pendidikan negara dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik di seluruh Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Situasi ini sebenarnya menyebabkan kedudukan bahasa melayu semakin tergugat dan meniti saat-saat untuk lenyap dari tanah air kita sendiri.

Menurut Dasar Pendidikan Kebangsaan 1996, kedaulatan bahasa melayu harus dipertahankan sebagai bahasa teras dalam sistem pendidikan negara. Dasar tersebut dengan jelas menyatakan bahawa “dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama”. Hakikatnya, jika dasar Pendidikan Kebangsaan ini tidak dipelihara, ia akan membebankan guru dan pelajar luar bandar untuk menggunapakai Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Untuk Maklumat Lanjut dan Petisyen Baca di sini

Friday, December 5, 2008

Naib Canselor UPSI Terima Menantu

Tanjung Malim, 5 Dis: Seluruh mahasiswa UPSI mengucapkan tahniah kepada Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Aminah Binti Ayob yang bakal menerima menantu pada 6 Disember 2008. Anakanda Dato’ VC, Elisa Farazana Binti Idris bakal melangsungkan majlis perkahwinan dengan jejaka pilihan hati, Philip Safwan Von Huben di sini.

Dalam pada itu, 4 biro utama dalam MPP UPSI 08/09 sempat menghadiahkan cenderamata buat pasangan mempelai dengan diwakili oleh Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan, Saudara Zulhilmi Mohd Noor. Hadiah disampaikan melalui Setiausaha Dato’ di pejabatnya semalam.

Saudara Zulhilmi ketika menyampaikan cenderamata

Saudara Zulhilmi juga sempat menyampaikan salam kepada Dato’ dan memohon kemaafan kerana tidak dapat hadir bagi memeriahkan lagi majlis perkahwinan yang akan berlangsung esok kerana atas kekangan masa dan keluarga.

Sebelum mengakhiri perjumpaan, saudara Zulhilmi juga sempat mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada kedua-dua mempelai dan tahniah kepada Dato’ VC mewakili 4 biro tersebut iaitu Biro Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan, Biro Akademik dan Penyelidikan serta Biro Kesenian dan Kebudayaan.

Sebagai Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI 08/09, saya mewakili seluruh mahasiswa/I UPSI mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada mempelai dan tahniah kepada Prof. Dato’ Dr. Aminah. Doa kami, semoga pasangan mempelai diberkati dan dirahmati oleh Allah hingga ke akhir hayat. Amin.


Akmal Bin Madzir,

Exco Latihan Dan Pembangunan Sahsiah

MPP UPSI 08/09

Monday, December 1, 2008

Pemergian Seorang Tokoh Pendidikan


Seluruh warga UPSI mengucapkan takziah di atas pemergian Allahyarham Datuk Razali Ismail, mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia dan juga mantan Ahli Parlimen Kuala Terengganu untuk dua penggal.

Beliau pernah menuntut di Universiti Malaya dalam bidang Sejarah. Setelah mengajar beberapa tahun, beliau menyambung pengajian Sarjana Pendidikan di Birmingham, United Kingdom.

Sebelum terlibat dengan dunia politik, beliau adalah Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu.Datuk Razali sememangnya terkenal sebagai seorang tokoh akademik yang progresif dan bermotivasi tinggi.

Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada dunia pendidikan negara.Semoga rohnya dicucuri rahmat.

sumber:mahasiswakini.com