Wednesday, November 26, 2008

Kenali Tokoh Mujaddid UPSI: Ibrahim Hj Yaakob

Pengenalan

Nama Ibrahim Haji Yaacob (IBHY) memang terkenal dan bukannya nama asing dalam sejarah Tanah Melayu. Ramai yang mengenalinya sebagai seorang tokoh nasionalis yang menjadi pencetus kepada gerakan nasionalisme. Melalui pertubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM), IBHY telah menerapkan nilai perjuangan dan memulakan proses perkembangan nasionalisme Melayu. Pengenalan Konsep Melayu Raya dan tuntutan kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu di bawah Indonesia menjadi asas kepada perjuangan IBHY melalui pertubuhan yang dikendalikannya iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM). Walaupun sesetengah pendapat melabelkan IBHY sebagai golongan radikal yang berhaluan kiri namun jasa dan cetusan idea politik IBHY telah membuka ruang kepada kegiatan nasiolisme Melayu. Hanya penelitian mendalam sahaja yang dapat memberikan jawapan yang lebih relevan dalam menentukan siapa sebenarnya Ibrahim Haji Yaacob.

Latar belakang IBHY

Ibrahim Haji Yaacob (IBHY) atau turut dikenali dengan nama Dr. Iskandar Kamel[1] ialah seorang Melayu berketurunan Bugis, dari daerah Silo, Sulawesi, Indonesia.[2] Beliau dilahirkan pada 27 November 1911, di Kampung Tanjung Kertau, Temerloh, Pahang.[3] Kedua-dua ibu bapanya telah berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu pada sekitar awal abad ke-20. Ayahnya, Haji Yaacob ialah seorang guru agama dan tokoh yang dihormati oleh masyarakat kampungnya manakala ibunya bernama Hawa binti Hussein.[4] Ketika IBHY berusia dua tahun, kedua-dua ibu bapanya bercerai dan beliau telah dijaga oleh ibunya yang hidup secara sederhana. IBHY mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu di Tanjung Kertau pada tahun 1918 ketika berusia tujuh tahun. Pada tahun 1928, beliau telah dipilih menjadi guru pelatih di Pusat Latihan Perguruan di Kuantan, Pahang.[5] Selepas daripada itu pada tahun 1928 hingga 1931, IBHY telah menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) di Tanjong Malim, Perak.[6]

Pendidikan di MPSI secara tidak langsung telah menyemai semangat kebangsaan di dalam diri IBHY. Guru-guru yang mengajar di MPSI sememangnya telah memainkan peranan penting dalam memberikan pendidikan kebangsaan khususnya gerakan yang berlaku di India, Mesir, Indonesia dan Jepun. Antara guru-guru tersebut ialah Abdul Hadi Hassan, Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), Nurdin Haji Haron, Harun Mohd Amin (Harun Aminurrashid), Buyong Adil dan Abdul Rahman Hj Muhyidin.[7] Peranan guru-guru di MPSI telah memberi inspirasi kepada IBHY dalam memperjuangkan Konsep Melayu Raya khususnya bagi orang-orang Melayu melalui pertubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Galakkan daripada Harun Mohd Amin selaku guru dan penyelia di kediaman IBHY telah menanamkan semangat kebangsaan di dalam diri IBHY. Selain itu, kegemaran IBHY membaca buku dari pelbagai aspek khususnya buku-buku sastera, sejarah dan hal ehwal semasa telah memberi kelebihan kepada IBHY dalam memahami keadaan semasa.

Pembacaannya tidak terbatas kepada buku-buku sahaja namun akhbar-akhbar khususnya daripada Indonesia turut menjadi bahan bacaanya. Antaranya seperti Persatuan Indonesia, Pewarta Deli, Pertja Selatan, Pedoman Masyarakat, Fikiran Rakyat, Soeloeh Rakyat Indonesia, Semangat Islam, Seruan Azhar, Bintang Timur dan Bintang Hindia.[8] Selain itu, IBHY turut membaca “Sumpah Pemuda” yang menekankan perjuangan untuk mencapai matlamat satu bahasa, satu nusa dan satu bangsa Indonesia.[9] Pengetahuan yang diperolehi melalui pembacaan dan pendedahan perkembangan politik khususnya di Indonesia telah memberi impak ke dalam diri IBHY dalam membina jati diri yang kukuh dan secara tidak langsung menimbulkan perasaan cintakan bangsa dan negara.



[1] Abu Bakar Nordin et. al., Aspirasi Kebitaraan, Ibu Kandung Suluh Budiman, Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris, 2003, hlm.115. Lihat juga gelaran Iskandar Kamel dikenali umum di Indonesia di dalam buku Bachtiar Djamily, Ibrahim Yaacob Pahlawan Nusantara, Kuala Lumpur: Pustaka Budiman Sdn Bhd, 1985, hlm.86.

[2] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka, 2002, hlm. 41.

[3] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, Melaka : Institut Kajian Sejarah & Patriotisme Malaysia, 2003, hlm. 317.

[4] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm. 41.

[5] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm. 42.

[6] Abu Bakar Nordin et. al., Aspirasi Kebitaraan, Ibu Kandung Suluh Budiman, hlm.115.

[7] Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, hlm. 318.

[8] Ibid, hlm. 320.

[9] Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.42.

sumber: myhistorian.googlepages.com/ibrahimyakobKMM.doc
akan bersambung...

No comments: