Tuesday, November 25, 2008

Respon Cadangan Kementerian Pelajaran

Matapelajaran Vokasional (MPV) untuk pelajar-pelajar Sekolah Menengah bermula dari Tingkatan 1.

Tanjung Malim, 25 Nov: Mahasiswa Pendidikan khususnya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut baik saranan dan cadangan oleh Kementerian Pelajaran untuk menjadikan matapelajaran vokasional (MPV) sebagai satu subjek bagi pelajar-pelajar sekolah menengah bermula daripada tingkatan satu seperti ini telah dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Tan Sri Razali Bin Ismail hari ini.

Sebelum ini, matapelajaran vokasional (MPV) hanya dijadikan matapelajaran untuk pelajar-pelajar menengah atas di sekolah-sekolah terpilih. Menyedari kepentingan MPV ini yang bukan hanya sebagai satu subjek biasa tetapi satu nilai tambah untuk pelajar-pelajar, Mahasiswa UPSI memandang perkara ini perlu diambil perhatian dan dipandang serius oleh pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakan perkara ini dalam masa yang terdekat.

Mendokongi hasrat baik Kementerian Pelajaran ini, mahasiswa dalam bidang pendidikan mengharapkan subjek MPV ini dapat melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Sebagai Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar UPSI 08/09, saya memandang usaha ini sebagai satu usaha yang baik dan tepat oleh Kementerian Pelajaran dalam memenuhi tuntutan modal insan yang ingin dilahirkan oleh kerajaaan. Saya berpendapat bahawa dengan adanya kemahiran nilai tambah dalam diri pelajar-pelajar melalui subjek MPV ini, pelajar-pelajar boleh mempunyai pemikiran yang lebih terkehadapan dan dapat berdikari dalam usia yang muda.

Bagi pendapat saya lagi, kita tidak boleh menafikan kemampuan pelajar-pelajar menengah rendah dalam mengasah pemikiran dan bakat mereka, jika kemahiran yang diperoleh daripada subjek MPV ini digunakan secara komprehensif dan menyeluruh.

Akmal Bin Madzir,

Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah

Majlis Perwakilan Pelajar UPSI 08/09

No comments: