Tuesday, November 25, 2008

Mana pergi jiwa si Murabbi?

“Mak, saya dapat universiti…Alhamdulillah,dapat kos perubatan…”kata si anak dalam nada gembira. Lalu si mak pun berkata, “Alhamdulillah, bagus anak mak ni. Takpe,duit semua kamu jangan risau, nanti tahulah mak dan ayah carikan untuk kamu” walaupun sebenarnya tergambar kesusahan si ibu dan ayah dalam mencari duit buat si anak…

“Apa cita-cita kamu Ahmad?” tanya Cikgu Syed. “ Cita-cita saya menjadi seorang doktor yang berjaya dunia dan akhirat. “Bagus, jiwa besar dan berani. Cikgu doakan dan harapkan agar cita-cita kamu ini Berjaya dan kamu tidak lupa diri” balas cikgu Syed.

Inilah jiwa murabbi!! Walaupun si Ibu hanya berpendidikan sekolah rendah, namun jiwa Murabbi yang ada dalam dirinya cukup tinggi. Berusaha supaya anaknya lebih baik dari dirinya. Begitu juga dengan seorang guru, dia akan mendidik anak muridnya melebihi apa yang dia ada sama ada dari segi kognitif, afektif mahupun psikomotor. Kita bukan guru silat, yang tidak akan mengajar keseluruhan ilmunya dek takut anak murid akan melawannya suati hari nanti.

Namun apabila melihat laporan Kosmo (link) pada pagi ini, terdetik di hati kita ke mana hilangnya jiwa si Murabbi ini?? Adakah kejiwaan itu hilang ditelan zaman dan juga kemodenan? Semakin cantik dan canggih sekolah yang ada, semakin lapuk jiwa murabbi dalam guru-guru. Jikalau nafsu harta dan kebendaan menjadi perkara yang nak dikejar, jangan jadi guru! Banyak lagi pekerjaan yang lebih baik dalam menjanjikan tuntutan nafsu tersebut. Jika inginkan nama dan kemegahan, jangan jadi guru! Banyak lagi pekerjaan yang boleh kita megahkan dan jika kita inginkan sekadar memenuhi masa lapang dalam kehidupan, sekali lagi saya kata jangan jadi guru!

Profesion ini adalah lebih besar berbanding askar yang menjaga Negara, lebih berat berbanding doktor di wad kecemasan dan lebih professional berbanding Perdana Menteri yang mentadbir Negara. Namun, jika ini sikap kita sebagai guru, saya rasa elok kita mencari pekerjaan lain yang lebih sesuai dan secocok dengan kita dan kehidupan kita (Itu pun kalau ada), kerana profesion ini menuntut seseorang yang berjiwa murabbi…..

*Maaf kalau entry sebelum ini juga menggunakan sentimen keibuan. (Lama tak pulang ke kampung menjenguk ibu).

No comments: